Trump Mahu Tambah Senjata Nuklear AS

 

WASHINGTON – Presiden Do­nald Trump berkata kelmarin bahawa beliau akan memastikan senjata nuklear Amerika Syarikat (AS) merupakan teratas di dunia dan menyifatkan AS ketinggalan dalam kapasiti senjata nuklearnya.

 

Dalam komen pertama beliau tentang simpanan senjata nuklear AS sejak menduduki White House pada 20 Ja­nuari lalu, Trump ditanya agensi berita Reuters tentang kenyataannya di laman Twitter pada Disember 2016.

 

Ketika itu, beliau berkata, AS perlu memperkukuh dan menambah kapasiti senjata nuklearnya “sehingga tiba masanya apabila dunia matang tentang senjata nuklear.”

 

Menjawab soalan tersebut, kata Trump, beliau mahu melihat dunia bebas senjata nuklear tetapi bimbang kerana AS “ketinggalan dalam aspek kapasiti senjata nuklear.”

 

“Saya ialah orang pertama yang mahu melihat tiada sesiapa yang mempunyai senjata nuklear tetapi kami tidak boleh ketinggalan di belakang mana-mana negara walaupun negara sahabat. Kami tidak akan ketinggalan dalam aspek kuasa nuklear,” katanya.

 

Menurut kumpulan antinuklear, Ploughshares, Rusia mempunyai 7,000 peledak nuklear dan AS memiliki 6,800 senjata itu, lebih daripada mencukupi bagi mengekang serangan dari mana-mana kuasa nuklear.

Dalam wawancara sama, Trump turut memberitahu, China boleh menamatkan ancaman keselamatan oleh Korea Utara “dengan mudah sekiranya ia mahu melakukannya” sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Beijing supaya meningkatkan pengaruh­nya bagi mengekang ancaman perang Pyongyang.

 

Trump turut menyuarakan sokongan kepada Kesatuan Eropah sebagai sebuah badan pemerintah dengan berkata: “Saya betul-betul menyokongnya.”

 

Menyentuh isu Palestin-Israel, Pre­siden itu buat kali menyuarakan soko­ngan kepada dasar penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik itu, namun menambah, beliau akan berpuas hati dengan apa sahaja keputusan yang dapat menggembirakan kedua-dua belah pihak.

 

Trump juga menjangkakan usahanya untuk memberi tekanan kepada sekutu-sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) agar membayar lebih untuk pertahanan mereka akan membuahkan hasil.

 

“Negara-negara ini berhutang wang yang banyak (dengan AS),” katanya. – REUTERS/Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.