Syamel Impi Showcase Buktikan Bakat

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang popular dengan lagu Hidup Dalam Mati, Syamel mengimpikan persembahan showcase dalam usaha membuktikan kemampuan sebenar dirinya sebagai penyanyi.

 

Penyanyi yang dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22 itu berharap, impian itu akan terlaksana pada tahun ini sebelum meneruskan cita-cita lebih besar iaitu muncul dengan konsert solo.

 

“Untuk tampil dengan showcase solo, saya masih belum yakin. Tetapi jika diberi peluang bergandingan dengan rakan penyanyi lain, saya sedia mencuba. Untuk persembahan berskala kecil, mungkin tiada masalah.

 

“Cuma untuk persembahan besar seperti konsert, saya perlu bekerja keras kukuhkan lagi nama. Saya percaya, setiap penyanyi mempunyai impian untuk tampil dalam konsert solo tetapi semua itu berbalik kepada peluang dan rezeki.

 

“Saya perlu yakinkan peminat, saya memiliki kekuatan tersendiri untuk mereka melaburkan wang membeli tiket menonton persembahan nanti,” katanya.

 

Syamel atau nama lengkapnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 24, juga berharap perjalanan kerjaya nyanyiannya akan terus konsisten sepanjang tahun 2017.

 

Permulaan tahun baru ini dibukanya cemerlang apabila diumumkan sebagai juara program realiti, Duo Star bersama Erni Zakri.

 

“Apa yang saya lalui tahun lalu banyak mematangkan diri. Setahun dalam arena seni, saya sudah mula merasai jatuh bangun untuk terus bertahan. Alhamdulillah, single pertama iaitu Hidup Dalam Mati menerima sambutan baik. Memang saya ingin melihat lagu itu melangkah jauh dan membolosi Anugerah Juara Lagu (AJL).

 

“Tetapi rezeki untuk ke AJL tidak kesampaian, membuatkan perjalanan saya masih belum lengkap. Tidak mengapa kerana saya juga sudah tidak mahu mengenang kontroversi lagu itu lagi. Semua yang berlaku ada hikmahnya apabila saya menang pada AIM 22 dan Duo Star,” katanya yang kini mempromosikan lagu Aku Cinta duet bersama Ernie.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.