SPRM Tahan Enam Individu, Beku Akaun Bank RM15.5 Juta

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap enam individu kerana dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki berkata, keenam-enam suspek yang berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira jam 8.30 pagi pada 24 Februari 2017.

 

“Mereka yang ditangkap merupakan anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan Johor, dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal tersebut.

 

“Menerusi maklumat awal yang diperolehi, kesemua suspek disyaki telah bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di Johor,” katanya.

 

Kegiatan mereka dipercayai telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil pendapatan kerajaan Negeri Johor.

 

Katanya, dalam operasi tersebut, SPRM juga telah merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500 ribu termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

 

“SPRM kini dalam proses meneliti semua dokumen yang dirampas berhubung penyelewengan hartanah di Johor.

 

“Sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga telah dibekukan bagi membantu siasatan,” katanya.

 

Jelasnya lagi, SPRM akan memanggil beberapa orang lagi saksi bagi membantu melengkapkan siasatan kes ini.

 

Penolong pendaftar Noor Hidayah Abdul Manaf membenarkan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk membantu siasatan.

 

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah. – Sinar 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.