Pesona Emma Watson

NAMA Hermione Granger cukup sinonim dengan aktres berusia 26 tahun ini.

 

Biarpun francais Harry Potter sudah enam tahun berlalu, namun karakter kanak-kanak ahli sihir itu masih diingati sehingga kini.

 

Bagaimanapun, kemunculan Emma Watson menerusi karakter Belle dalam filem yang dinantikan Beauty and the Beast barang kali akan membina satu memori baru buat peminat setianya.

 

Menurut Watson, Beauty and the Beast tidak banyak beza dengan filem Harry Potter.

 

“Bagi saya kecantikan itu adalah kesempurnaan dan kita gembira dengan apa yang dilakukan.

 

“Membawakan karakter Belle membuatkan saya berasa seperti berumur 11 tahun. Sama seperti saya rasakan ketika membintangi Harry Potter.

 

“Malah seperti ada satu perhubungan antara Belle dan Hermione Granger; secara tidak langsung membuatkan saya ingat bahawa saya adalah seorang pelakon dan inilah kerja saya. Filem seperti ini adalah sebuah filem yang tulen,” katanya.

 

Mengimbau kembali penglibatan dalam filem animasi yang pernah disiarkan pada tahun 1991 ini, Watson atau nama sebenarnya Emma Charlotte Duerre Watson pada awalnya telah dilamar pihak Walt Disney Pictures untuk membintangi filem Cinderella.

 

Namun atas beberapa sebab, dia menolak.

 

Masih tidak berputus asa, pihak Disney kemudiannya kembali memburu aktres British ini untuk terlibat dalam remake Beauty and the Beast.

 

“Karakter Belle bagi saya wajar dijadikan contoh kerana dia digambarkan sebagai gadis yang berfikiran terbuka, penuh rasa ingin tahu dan mempunyai belas kasihan.

 

“Bahkan dalam filem ini, Belle digambarkan sebagai karakter yang tidak mudah dibuli dan sentiasa melawan sekiranya rasa ditindas,” ujarnya.

 

Tambah Watson, orang ramai perlu menonton filem ini kerana perjalanan cerita dan mesej berguna yang diselitkan.

 

Katanya, biarpun filem ini nampak serupa dengan filem animasi lain, namun jalan ceritanya lebih kuat.

 

“Filem ini bukan mengenai Belle sahaja, tetapi lebih daripada itu. Anda juga akan melihat erti cinta pandang pertama yang sebenar,” jelas pelakon berbakat ini.

 

Berlagak diva

 

Dalam pada itu, menjawab spekulasi dirinya yang kini sudah berlagak diva, Watson berkata, setiap selebriti wanita yang dikenali tidak dapat lari dengan jolokan itu.

 

“Kadang kala kita tak dapat memuaskan hati semua orang. Ada orang mahu kita menjadi seperti ini, dan ada orang mahu kita menjadi seperti itu.

 

“Tetapi bila kita menolak dan hanya mahu menjadi diri sendiri, orang terus meletakkan kita sebagai bermasalah,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.