Ketua Pembuli Akan Digantung Sekolah Selama Enam Bulan

Berkuat kuasa serta merta, mana-mana pelajar yang didapati bersalah menjadi ketua pembuli akan dikenakan hukuman gantung sekolah selama enam bulan.

 

Menurut Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, beliau telah menandatangani arahan itu semalam bagi membolehkan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah menangani kes buli.

 

“Selepas melalui proses penyiasatan jawatankuasa displin dan didapati bersalah, ketua pembuli akan digantung sekolah enam bulan manakala ahlinya digantung sekolah dua bulan,” katanya selepas mengadakan ‘Dialog Bersama Menteri Pendidikan’ di Universiti Aimst di sini, yang dihadiri kira-kira 1,700 guru dari seluruh Kedah.

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kes seorng pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang cedera di kepala akibat dibuli dua pelajar senior.

 

Menurut Mahdzir, sepanjang tempoh hukuman itu, pembuli akan mengikuti proses pemulihan termasuk dihantar ke sekolah pemulihan akhlak Henry Gurney dalam tempoh beberapa minggu.

 

“Ini bergantung kepada keputusan jawatankuasa displin,” katanya sambil berharap jawatankuasa itu membuat siasatan teliti sebelum memutuskan hukuman.

 

Jelas beliau, bidang kuasa jawatankuasa itu hanya melibatkan kes buli di sekolah dan jika ia berkaitan jenayah, perkara itu akan terus dibawa kepada pihak polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.