Kes Jong Nam, Malaysia Masih Selamat Kata Nazri

 

 
KUALA KANGSAR – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan, Malaysia masih selamat dan tidak tergugat meskipun berhadapan isu membabitkan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di negara ini.

 

Beliau berkata, isu berkenaan tidak menjejaskan keselamatan rakyat atau pelancong dan dianggap sebagai kes terpencil, lapor BH.

 

“Semua orang tahu bahawa Malaysia adalah negara yang selamat dan perkara seperti ini (pembunuhan) boleh berlaku di mana-mana.

 

“Malaysia mahupun negara lain ketika ini mengamalkan sikap tidak menutup pintu kepada warga dunia yang datang daripada mana-mana negara. Jadi kita akan terus melaksanakan sikap terbuka ini.

 

“Ini adalah kes terpencil kerana sebelum ini kita tahu Korea Utara memang terkenal dengan (isu) pembunuhan (individu dianggap mengancam kedudukan pemimpinnya), jadi ia bukanlah satu perkara yang boleh menjejaskan keamanan di negara ini,” katanya.

 

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, maklum balas menerusi aplikasi media sosial yang diterimanya daripada rakyat Korea Selatan serta beberapa negara lain menyatakan mereka sangat berpuas hati dengan tindakan diambil oleh polis negara ini secara profesional dan tidak tunduk kepada tekanan daripada negara Korea Utara.

 

Mengulas cadangan mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara, beliau berkata, ia terpulang kepada Kabinet untuk membuat keputusan.

 

“Kalau diteruskan pun tidak mengapa dan kalau ditutup pun bagus juga kerana selama ini kita tidak mendapat sebarang keuntungan ketika negara menjalinkan hubungan dengan Korea Utara.

 

“Kita mengetahui bahawa Jepun sudah lebih 15 tahun tidak mengadakan hubungan dengan Korea Utara, jadi kalau ditutup sekalipun ia tidak langsung menjejaskan kedudukan Malaysia di mata dunia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.