Duta Korea Utara Terpaksa Tunjuk Marah Demi Nyawa Sendiri

GEORGE TOWN – Datuk Seri Nazri Aziz memahami sebab kemarahan Duta Korea Utara dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, kerana beliau terpaksa tunjukkan kemarahan yang berlebih-lebihan.

 

Menteri pelancongan dan kebudayaan berkata Kang Chol perlu menunjukkan beliau menyerang Malaysia, atau dicantas.

 

“Dia perlu tunjukkan kemarahan yang berlebih-lebihan. Kalau tak, dia akan dibunuh. Ini semua orang tahu.

 

“…kalau tak bila dia pulang ke Korea Utara, dia kena.

 

“Kalau dia tak kena, keluarga yang kena,” kata Nazri kepada pemberita selepas pembukaan sambutan Tahun Baru Cina oleh kementeriannya di perkarangan dewan Town Hall semalam.

 

Kang Chol baru-baru ini menuduh Malaysia bekerjasama dengan musuh Korea Utara dalam kes pembunuhan Jong Nam, abang sebapa pemimpin mereka Kim Jong Un.

 

Jong Nam dibunuh di klia2 pada 13 Februari ketika menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila beliau diserang 2 wanita.

 

Seorang wanita mengenakan racun mudarat, dipercayai memiliki kesan ejen saraf VX manakala seorang lagi menyerkup mukanya dengan kain.

 

Pihak berkuasa setakat ini sudah menjalankan bedah siasat dan menangkap 4 suspek, termasuk seorang lelaki Korea Utara dipercayai terlibat dalam pembunuhan itu.

 

Empat lelaki lain, dipercayai warga Korea Utara, meninggalkan negara ini tidak lama selepas Jong Nam diserang dan menjadi buruan polis.

 

Mayat Jong Nam berada di Hospital Kuala Lumpur menunggu pengesahan identiti.

 

Tingkah laku Kang Chol menimbulkan tanda tanya apabila beliau meminta mayat dilepaskan kepada mereka tanpa bedah siasat.

 

Apabila pihak berkuasa menolak permohonan itu, Kang Chol menuduh Malaysia menyembunyikan sesuatu dalam siasatan itu. Beliau turut mengkritik Wisma Putra dan polis.

 

Sementara itu media milik republik itu menghentam pihak berkuasa kononnya menjalankan bedah siasat secara paksa dan tidak sah.

 

Korea Utara belum mengesahkan mayat itu mayat Jong Nam. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.