Waris MH370 Digesa Kemuka Tuntutan Sebelum 8 Mac

KUALA LUMPUR – Malaysian Airline System Berhad (MAS) menggesa semua waris tragedi MH370 mengemukakan tuntutan mereka sebelum 8 Mac ini bagi mengekalkan hak perundangan mereka.

 

“Bagi memastikan mereka yang terlibat mengambil tindakan yang diperlukan untuk mengekalkan hak perundangan masing-masing, syarikat ini beberapa kali memaklumkan kepada waris mengenai had tempoh dua tahun mengikut Konvensyen Montreal, yang bererti bagi MH370, ia tamat pada 8 Mac ini,” kata MAS dalam kenyataan semalam.

 

Kenyataan itu menyebut syarikat berkenaan komited bersama waris terlibat bagi memastikan pampasan yang adil dan saksama.

 

“MAS mempunyai perlindungan insurans bagi memenuhi tanggungjawab membayar pampasan kepada waris seperti yang terkandung dalam konvensyen antarabangsa dan undang-undang yang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

 

Syarikat itu juga berkata sehingga kini Pentadbiran MAS sudah memenuhi 96 permohonan daripada waris MH370 untuk memulakan prosiding perundangan.

 

“Tiada permohonan yang ditolak. Sebagai tambahan, 42 waris sudah menerima pampasan penuh,” kata MAS.

 

Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.