Warga Myanmar Ditahan Berhubung Penemuan Kubur Besar Rohingya

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan dua rakyat Myanmar untuk membantu siasatan mengenai penemuan kubur besar dipercayai mengandungi mayat mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis tahun lepas.

 

Ketua pasukan khas yang menyiasat kes tersebut Datuk Goh Kok Liang berkata kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditemui semasa ditahan di Depot Tahanan Imigresen di Tanah Merah Kelantan.

 

Goh yang juga Ketua Siasatan Jenayah Perak berkata beliau tidak dapat memberi butiran mengenai penahanan dan tempoh reman kedua-dua suspek tetapi berkata mereka dipercayai penjaga kawasan kubur itu di Wang Kelian.

 

“Mereka dikenal pasti melalui kawat cam oleh mangsa pemerdagangan itu sendiri. Polis masih dalam proses mengambil keterangan daripada kedua-dua suspek,” kata beliau kepada Bernama.

 

Goh berkata enam orang lagi, dipercayai rakyat Myanmar dan warga Thai dijangka direman sebaik sahaja polis dapat mengesan keberadaan mereka.

 

Beliau berkata polis sedang dalam proses mendapatkan waran  tangkap bagi lima lelaki dan seorang wanita.

 

Mereka dikenal pasti November lepas, bagaimanapun polis tidak dapat menahan mereka disebabkan prosedur teknikal, kata beliau.

 

Beliau bagaimanapun menafikan keenam-enam mereka ialah dalang sindiket pemerdagangan manusia dan berkata mereka cuma anggota bawahan dan dipercayai pembekal makanan atau penjaga.

 

Pada Mei tahun lepas, polis telah menemui kubur besar dan rangka manusia, dipercayai etnik Rohingya, dan 28 kem pemerdagangan manusia.

 

Sebanyak 139 kubur itu, sesetengah daripadanya ditinggalkan, terletak di atas bukit, setinggi beratus-ratus meter dari paras laut.

 

Susulan kes tersebut, polis Thailand bulan lepas mendakwa 88 orang termasuk seorang jeneral atas tuduhan berhubung kes pemerdagangan manusia. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.