Tindak Tanduk Azmin Buat Ahli Resah, Kata Pengerusi PKR Terengganu

SHAH ALAM – Rungutan demi rungutan terhadap kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali membayangkan tahap keresahan ahli PKR terhadap timbalan presidennya itu, ujar Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail.

 

Enggan mengulas kebolehan Azmin menjawat jawatan Menteri Besar Selangor, Azan berkata beliau hanya fokus kepada kepimpinan yang ditonjolkan ADUN Bukit Antarabangsa itu terhadap parti.

 

“Yang merungut sekarang adalah ahli parti kan? Maksudnya (rungutan) kegagalan itu datangnya ahli parti dan parti. Saya tidak mahu dan tidak berminat untuk ambil tahu kegagalan beliau sebagai MB. Saya hanya berminat untuk ambil tahu sekiranya beliau gagal menjalankan tugas mewakili PKR.

 

“Sepatutnya sebagai MB yang mewakili PKR, selain daripada menguruskan negeri, Azmin tidak boleh melupakan tanggungjawabnya mewakili PKR untuk membantu PKR,” katanya ketika dihubungi Antarapos, semalam.

 

Azan berkata demikian mengulas beberapa aduan akar umbi beberapa Cabang PKR di Selangor berhubung ketelusannya dalam isu pelantikan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga pendedahan penipuan tender balak yang dilakukan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, baru-baru ini.

 

Azan kemudiannya membidas sikap Azmin yang sentiasa mengelak daripada menjawab dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

 

“Asas kepada mana-mana pengurusan parti adalah pendekatan konsultatif sebelum pergi ke peringkat seterusnya. Pada saya, langkah konsultatif tidak berlaku sehingga kini.

 

“Untuk mengelakkan tanggapan peribadi dalam menguruskan masalah, maka kena panggil Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk bincang dan cari cadangan penyelesaian dalam satu forum yang betul,” tegasnya.

 

Azan, tidak menolak Azmin bakal kehilangan sokongan daripada ahli-ahli parti, yang sekaligus akan melemahkan kedudukannya di dalam PKR.

 

“Jika tidak ada tindakan segera maka saya bimbang perkara itu berlaku. Bukan beri kesan kepada beliau sahaja, malah parti secara keseluruhan.

 

“Pemimpin boleh datang dan pergi. Parti tetap akan kekal. Yang kita kena pertahankan secara bersungguh-sungguh adalah parti, bukannya individu,” ujar Azan.

 

Sebelum ini Antarapos menyiarkan pendedahan daripada salah seorang pemimpin PKR yang menuduh Azmin kini semakin angkuh dan enggan menerima teguran sehingga menyebabkan ramai pemimpin parti itu mula menjauhkan diri.

 

Pemimpin yang sinonim dengan ‘kem’ Azmin itu mendakwa Azmin kini semakin hilang sokongan kerana ramai di kalangan akar umbi dan pimpinan tidak selesa dengan tindak-tanduknya sejak kebelakangan ini. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.