Selangor Mahu Saman Ahli Seumur Hidup PKR

PETALING JAYA – Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard, ekoran serangan ahli seumur hidup PKR itu berhubung projek pembalakan di negeri itu, kata EXCO Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong.

 

Beliau juga menggesa Badrul Hisham menghentikan segala serangan terhadap kerajaan negeri berhubung isu pembalakan di dua kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu.

 

Dalam satu kenyataan, beliau berkata lagi, penjelasan yang diberikan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) 23 Februari lalu sepatutnya telah menjawab segala perkara yang dibangkitkan ahli seumur hidup PKR itu.

 

JPNS dalam satu kenyataan menegaskan bahawa hak pembalakan HSK bagi membuka laluan kepada projek jajaran talian penghantaran elektrik 275/132 dari PMU Mahkota Cheras ke PMU Mahkota Cheras Hartamas, dan talian penghantaran elektrik 275KV (1,000 MVA) PMU Bukit Tarek ke PMU dikendalikan pihaknya, dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat dalam proses itu.

 

“Harus ditekankan bahawa kedua-dua kontrak yang kononnya diberi secara ‘salah’ seperti tuduhan Badrul Hisham adalah tidak berasas. Prosedur di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1984 sentiasa digunapakai dalam membuat penilaian permohonan.

 

“Tiada unsur rasuah atau salah guna kuasa kerana keputusan yang dibuat Pihak Berkuasa Negeri adalah secara kolektif dan berdasarkan syor yang diberikan JPNS.

 

“(Justeru) Dia bertanggungjawab menghentikan segara fitnah serta-merta. Pada masa yang sama, pihak kami telah merujuk kepada pihak peguam untuk proses perundangan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan itu lagi. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.