Pesawat Russia Jatuh Terhempas Di Mesir Disabotaj Pengganas

KAHERAH – Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, berkata pesawat Russia yang terhempas di Sinai tahun lalu dijatuhkan pengganas yang mahu memusnahkan industri pelancongan negara itu dan menjejaskan hubungan dengan Moscow.

 

Kenyataan itu adalah petunjuk rasmi pertama dari Kaherah bahawa bencana itu disebabkan perbuatan khianat.

 

“Adakah keganasan sudah berakhir? Tidak, ia belum berakhir tetapi ia akan berakhir jika kita bersatu.

 

“Sesiapa yang menjatuhkan pesawat Russia, apa yang dimaksudkan? Pihak berkenaan mahu menjejaskan pelancongan, dan hubungan dengan Russia,” kata al-Sisi dalam ucapan di televisyen.

 

Moscow menghentikan semua penerbangan awam ke Mesir, destinasi popular bagi pelancong Russia, selepas pesawat komersial negara itu terhempas di Sinai pada 31 Oktober lalu, mengorbankan semua 224 penumpang dan kru kapal terbang itu.

 

Menurut Russia, pesawat itu dimusnahkan oleh bom.

 

Pengesahan rasmi berhubung insiden pesawat Airbus A-321 itu akan membuka jalan kepada keluarga mangsa menuntut pampasan daripada Mesir.

 

Militan IS mendakwa menyeludup masuk bahan letupan menggunakan tin minuman ringan ke dalam pesawat berkenaan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.