Muhyiddin Perlu Dilucutkan Jawatan, Kata Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Menteri Perlancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Nazri Aziz menggesa supaya tindakan disiplin dikenakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran kelantangannya mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Tindakan disiplin yang berupa perlucutan jawatan itu juga perlu sebagai hukuman berikutan tindak-tanduk Muhyiddin yang melakukan hasutan ketika perjumpaan dengan beberapa Ketua Cawangan UMNO di Negeri Sembilan baru-baru ini.

 

“Saya mengesyorkan dia digantung kerana tindakan beliau sentiasa mengkritik Presiden. Dia bukan sahaja mengkritik tapi juga menghasut seperti yang dilakukannya ketika berjumpa dengan beberapa ketua cawangan UMNO di Port Dickson.

 

“Sebagai timbalan dia patut memujuk, tapi dia pergi menghasut pula untuk menentang Presiden,” katanya ketika sidang media di Istana Budaya sebentar tadi.

 

Dalam pada itu, Nazri juga secara menyindir menggesa Muhyiddin agar belajar sifat kesetiaan daripada Timbalan Ketua UMNO Pagoh yang sentiasa mempertahankannya walaupun beliau bukan seorang yang ‘cerdik’ ekoran daripada tindakannya mendakwa Nazri tidak menghormati Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

 

“Tapi saya rasa budak ini boleh jadi contoh yang bagus juga sebab dia tak ada isu nak lawan balik hujah-hujah saya tapi kerana dia itu timbalan ketua bahagia, dan peranan timbalan itu mesti membantu ketua bahagian, jadi saya ingat Muhyiddin kena banyak belajar lagi daripada timbalan dia.

 

“Walaupun dia tak ada kualiti dari segi dia punya hujah dan tak dapat menangkis hujah-hujah saya, tapi dia masih mempertahankan ketua dia dan muhyiddin kena banyak belajar daripada dia,” katanya sinis.

 

Namun begitu, beliau turut menegur Timbalan Ketua UMNO Pagoh itu yang mengkritiknya dengan menjelaskan beliau hanya mengkritik Muhyiddin ekoran daripada tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang sering mengkritik Presiden parti.

 

“Saya ingat budak ini tak berapa nak cerdik sangat, sebelum dia nak tegur saya, dia kena tegur ketua dia dahulu sebab ketua dia pun kurang ajar jugak sebab pergi dok merata pergi bantai presiden.

 

“Jadi sepatutnya mesej itu disampaikan kepada Ketua Bahagian,” kata Nazri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.