Video: Setinggan Degil Akhirnya Akur Untuk Berpindah

Kuala Lumpur – Pendekatan diplomasi yang digunakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya berjaya melembutkan hati para penghuni di rumah Air Panjang Air Panas untuk berpindah.

 

Dalam operasi yang di jalankan pagi tadi, seramai 31 penghuni dari sembilan keluarga berjaya dipindahkan bagi membolehkan operasi merobohkan struktur bangunan dijalankan.

 

Mereka yang pada mula enggan memberikan kerjasama, akhirnya akur untuk mengosongkan rumah setelah dipujuk oleh para pegawai DBKL yang bertugas.

 

 

Menurut Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL, Anwar Mohd Zain proses pemindahan untuk baki penduduk berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian yang tidak dinggini berlaku.

 

 

“Mereka yang bersetuju untuk berpindah itu turut ditawarkan sebuah unit rumah di PPR Bukit Jalil.

 

“Pihak DBKL turut menyediakan lori dan tenaga kerja yang terdiri daripada kakitangan DBKL bagi membantu penghuni memindahkan barangan keperluan mereka” katanya ketika ditemui SuaraTV sebentar tadi.

 

Sembilan keluarga yang menghuni di rumah panjang Air Panas tersebut sebelum ini berkeras untuk tidak berpindah walaupun beberapa notis telah dikeluarkan sebelum ini.

 

Antara alasan yang diberikan unit rumah yang ditawarkan oleh DBKL itu terletak terlalu jauh dari kawasan yang didiami sebelum ini.

 

“Saya baru bekerja sebagai guru tadika, jadi tak elok kalau saya tiba-tiba minta untuk berhenti, tambahan pula unit rumah yang ditawarkan (PPR Bukit Jalil) agak jauh” ujar Poojawaty, 38 ketika ditanya mengenai alasannya untuk tidak berpindah.

 

Menurut Anwar ketika ditemui SuaraTV, perbincangan awal bersama penduduk telah diadakan pada sekitar bulan April tahun lalu, namun usaha tersebut gagal apabila baki penduduk tetap berdegil dengan memberikan pelbagai alasan.

 

“Beberapa notis juga telah dikeluarkan sebelum ini, notis pertama dikeluarkan pada bulan Julai 2014 dan seterusnya pada bulan Disember 2014 namun tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan ekoran rayuan yang dibuat oleh ahli parlimen Setiawangsa sendiri, Datuk Ahmad Fauzi atas alasan permulaan sesi baru persekolahan.

 

“Selepas dari tarikh tersebut, penduduk sekali lagi mengemukakan rayuan atas alasan ingin menyambut perayaan Thaipusam” ujarnya lagi.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.