Terlalu Awal Untuk Ampun Anwar – Perkasa

Kuala Lumpur – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali berpendapat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani hukuman di atas kesalahan meliwat, tidak sepatutnya diberi pengampunan segera.

 

Katanya, Anwar harus menjalani hukuman dan penilaian hanya dibuat apabila tiba masa dan waktu yang sesuai.

 

Ibrahim Ali berkata demikian selepas diminta mengulas tentang permohonan anggota keluarga Anwar Ibrahim yang mengemukakan petisyen permohonan pengampunan diRaja Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung sabitan kes Liwat II.

 

“Sekiranya Anwar diampun, tuntuan yang sama akan dipinta oleh pesalah lain pada masa hadapan termasuk untuk kesalahan yang sama.

 

“Dan ia juga tidak akan menjadi pengajaran kepada rakyat,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ibrahim Ali turut mempersoalkan keadilan untuk mangsa, Mohd Saiful Bukhari Azlan, sekiranya YDPA meluluskan pengampunan untuk Anwar.

 

Walaupun YDPA mempunyai kuasa penuh dalam menentukan keputusan, tetapi Ibrahim Ali mencadangkan agar Majlis Penasihat YDPA supaya turut mendapatkan pendirian Saiful Bukhari berkenaan permohonan pengampunan tersebut.

 

“Ini kerana dalam Islam, yang tertuduh juga perlu mendapat maaf daripada yang dianiaya atau dizalimi supaya keadilan terpelihara,” ujarnya.

 

Anggota keluarga Anwar hari ini muncul di Istana Negara pada kira-kira jam 3.30 petang tadi mengemukakan petisyen permohonan pengampunan DiRaja itu.

 

Anak perempuan Anwar, Nurul Nuha mengesahkan perkara tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.