Sentimen Bursa Dijangka Meningkat Jika IK Cecah Paras 1,832, Kata RHB Research

KUALA LUMPUR – Sentimen pasaran di Bursa Malaysia akan meningkat dengan ketara sekiranya penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras halangan utama pada 1,832, kata RHB Research Institute Sdn Bhd.

 

Halangan berkenaan dirujuk kepada purata pergerakan (MAV) 50 minggu yang kini pada paras 1,832, kata RHB Research dalam nota penyelidikannya Rabu.

 

Firma penyelidikan itu berkata halangan berikutnya pada 1,846 mengikut kajian analisis teknikal dalam mengunjur pergerakan pasaran saham.

 

“Secara keseluruhan, kami yakin pembetulan pasaran berakhir pada Disember 2014, selepas kemunculan petunjuk pemulihan utama. Aliran menurun dan MAV 50 minggu mungkin berakhir,” katanya.

 

RHB Research berkata FBM KLCI yang menokok hampir 10 mata semalam, membawa indeks hampir dengan barisan aliran menurun, terus daripada paras tertinggi serta MAV 50 minggu.

 

Dalam nota berasingan, RHB Research turut mencadangkan “belian dagangan” dalam George Kent (M) Bhd, Fiamma Holdings Bhd, Ecofirst Consolidated Bhd, Ancom Bhd dan Gadang Holdings Bhd.

 

Ia berkata saham berkenaan diunjur naik selepas melepasi paras halangan masing-masing pada sesi terkini.

 

Firma penyelidikan itu meletakkan harga sasaran bagi George Kent pada RM1.54, RM2.50 untuk Fiamma, 40 sen bagi Ecofirst, 58.5 sen untuk Ancom dan RM1.75 bagi Gadang.

 

Dalam panduan penarafan pelaburannya, RHB Research mendefinasikan “belian dagangan” sebagai harga saham mungkin melebihi 15 peratus dalam tempoh tiga bulan akan datang tetapi prospek jangka panjang kekal tidak menentu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.