Rokok Palsu Guna Jenama Terkenal

Kuala Lumpur – British American Tobacco Australia (BAT Australia) mendedahkan satu daripada jenama terkenal produk rokok syarikat itu dipalsukan dalam pek hijau dan dikesan terjual dalam pasaran negara itu.

 

Jurucakap BAT Australia, Scott McIntyre berkata, siasatan awal pihaknya setakat ini mendapati pek palsu itu dibuat di China dan diseludup masuk ke Australia oleh sindiket jenayah terancang dalam cubaan menembusi pasaran.

 

Menurutnya, rokok palsu yang diseludup masuk dari China itu dikesan selepas pasukan risikan di Sydney dan Wollongong mendapat maklumat daripada peruncit.

 

“BAT Australia melaksanakan lebih 3,000 operasi di seluruh negara. Rokok palsu itu didapati dijual pada harga RM28.20 hingga RM33.80 berbanding harga jenama sebenar dijual secara sah iaitu antara RM70.50 hingga RM85 sekotak.

 

“Rokok palsu itu dijual bersama rokok keluaran sah syarikat kami sebagai taktik untuk tidak dikesan. Rokok palsu itu dihantar ke makmal BAT di Southampton, England untuk menjalani ujian forensik dan analisisnya mendapati rokok itu dibuat dengan tangan, bukan mesin pembungkusan rokok.

 

“Risikan mendapati kebiasaannya rokok palsu yang dibuat di beberapa negara Asia dilakukan di kubu pembuatan bawah tanah dan ia boleh dihasilkan dalam jumlah besar,” katanya.

 

Menurutnya, rokok palsu itu didapati tidak mematuhi Standard Pematuhan Risiko Kebakaran Australia manakala peknya juga ditulis mendakwa dibuat di England serta tidak memenuhi spesifikasi pembungkusan ditetapkan.

 

McIntyre berkata, tahun lalu kerajaan menanggung kerugian RM3.1 bilion dalam bentuk kutipan cukai membabitkan 14.3 peratus penguasaan rokok seludup di pasaran tempatan.

 

“Agensi penguatkuasaan melakukan tanggungjawab dengan baik, namun mereka jelas memerlukan kaedah lebih berkesan mencegah kebanjiran rokok seludup di pasaran.

 

“Jabatan Kesihatan pula mesti bertindak tegas dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap peruncit terbabit dalam jual beli rokok seludup.

 

“Laporan tahunan menunjukkan tidak ada langsung pendakwaan dilakukan terhadap peruncit yang melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

 

Kajian Nielsen Company (Malaysia) sebelum ini mendapati kerajaan Malaysia kehilangan hasil RM2 bilion setahun dalam bentuk kutipan cukai akibat kegiatan rokok seludup. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.