Qazaf Hanya Untuk Zina Sahaja

KUALA LUMPUR – Undang-undang Islam berkaitan qazaf hanya terpakai untuk perlakuan zina. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, dan Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, qazaf adalah berkaitan tuduhan orang melakukan zina.

 

“Perkataannya zina. Tak disebut semua (berkaitan) qazaf. Mencuri, bunuh orang tidak boleh disebut qazaf,” katanya mengulas laporan yang dibuat terhadap peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berikutan jelajah penerangan yang dibuatnya berkaitan kes liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 dan Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 menyatakan, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan  empat saksi lelaki atau ‘iqrar’ orang yang dituduh mengikut hukum syarak, boleh dikira telah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

 

Kelmarin, pendakwah Wan Ji Wan Hussin membuat laporan jenayah syariah kepada Jabatan Agama Islam Selangor terhadap Muhammad Shafee.

 

Menurut Wan Ji, Muhammad Shafee memberi kenyataan yang merupakan kesalahan qazaf kerana menceritakan perbuatan liwat antara Anwar dan Mohd Saiful Bukhari Azlan semasa siri jelajah liwat II. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.