Polis Tumpaskan Geng Jack

GOMBAK – Geng Jack yang aktif mencuri dan meleraikan komponen kenderaan curi sejak setahun yang lalu tumpas selepas sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak memberkas tiga ahli kumpulan penjenayah itu dalam Ops Lejang Khas di Rawang, 13 Februari lalu.

 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya memberkas seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan ketika mereka mahu menaiki sebuah kereta curi.

 

“Susulan daripada tangkapan itu, kita turut memberkas seorang rakan mereka di kawasan berhampiran.

 

“Kita juga berjaya menjumpai semula 30 buah kereta jenis Proton termasuk empat buah kereta pacuan empat roda, Pajero yang dilaporkan hilang di daerah ini serta Lembah Klang,” katanya.

 

Menurutnya, kesemua kenderaan yang dianggarkan bernilai RM150,000 itu dicuri di sekitar kawasan perumahan, sebelum ia disembunyikan di luar daerah Gombak.

 

“Penjenayah hanya menyasarkan kereta lama yang diparkir di luar rumah, dalam tempoh lima minit mereka mampu melarikan kereta itu menggunakan kunci khas.

 

“Kereta itu kemudian disembunyikan di kawasan pusat membeli belah,” katanya.

 

Ali berkata, pihaknya percaya sebahagian komponen kereta yang dicuri itu akan dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti kenderaan.

 

“Kita masih mengesan lokasi kenderaan tersebut dijual dan dileraikan,” katanya.

 

Menurutnya, hasil siasatan mendapati dua daripada tiga individu yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes curi dan gaduh.

 

Kesemua individu yang berusia dalam lingkungan 27 hingga 45 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.