PKR Mahu Anwar Dibenarkan Hadir Sidang Parlimen Mac Ini

Kuaala Lumpur – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuat permohonan kepada Ketua Pengarah Penjara Sungai Buloh terlebih dahulu sebelum dibenar hadir ke sidang Dewan Rakyat Mac ini.

 

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Speaker Dewan Rakyat perlu mengesahkan sama ada Anwar boleh hadir atau sebaliknya.

 

“Dia mesti patuh kepada peraturan dan perundangan penjara, kalau Speaker mengatakan beliau boleh hadir ke Parlimen dengan itu dia perlu memohon kepada Ketua Pengarah Penjara untuk hadir ke Parlimen.

 

“Kalau Ketua Pengarah memikirkan dia (Anwar) boleh menghadiri Parlimen, bolehlah.

 

“Kalau Ketua Pengarah Penjara memikirkan ini merupakan satu perkara yang tidak boleh diputuskan barulah boleh berbincang dengan pihak Kementerian Dalam Negeri… bukan KDN yang memutuskan dahulu,” jelasnya.

 

PKR dalam satu kenyataan hari ini berkata akan berusaha untuk mendapatkan kebenaran agar Anwar dibenarkan hadir ke sidang Dewan Rakyat, Mac ini.

 

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata pihaknya akan mendapatkan kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung perkara itu.

 

Anwar kini dipenjarakan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

 

Beliau bagaimanapun masih memegang jawatan ahli Parlimen sehingga permohonan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) diketahui.

 

Ahli keluarga Anwar lewat petang semalam dilaporkan menghantar permohonan itu pasa saat-saat akhir.

 

“Sekretariat Parlimen PKR yang diketuai Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani) akan berurusan dengan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan peguam-peguam Anwar untuk mendapatkan kebenaran bagi membolehkan beliau hadir pada sesi persidangan akan datang,” ujar Rafizi.

 

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan berkata, Anwar wajar dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 9 Mac ini.

 

“Susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa kerusi Parlimen Permatang Pauh tidak dikosongkan sehingga proses petisyen pengampunan diraja ini selesai, persoalan ketua pembangkang dan pilihan raya kecil (PRK) juga tidak timbul,” katanya.

 

Pandikar Amin pada Selasa mengesahkan status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan hanya ditentukan selepas petisyen pengampunan diputuskan oleh YDPA.

 

Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menunggu keputusan rayuan pengampunan diraja yang dikemukakan oleh keluarga ketua pembangkang sebelum mengadakan mesyuarat khas mengenai PRK Permatang Pauh.

 

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Anwar, 67, setelah menolak rayuan akhirnya terhadap hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful, kini berumur 30 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar yang kini ditahan di penjara Sungai Buloh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

 

Sementara itu pensyarah Fakulti undang-undang Univerisiti Malaya, Profesor Gurdial Singh Nijar berkata hanya Menteri Dalam Negeri yang boleh memberikan keizinan untuk Anwar sebagai banduan hadir ke Parlimen.

 

Walaubagaimanapun tambah Gurdial berkata sekiranya Anwar tidak hadir dalam persidangan itu, Speaker boleh menggunakan budi bicaranya meminta seorang wakil ahli Parlimen daripada pembangkang untuk melaksanakan fungsi ketua pembangkang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.