Peniaga Pasar Tani Dilarang Ambil Bekalan Dari Pemborong Mulai 1 Jun 2015

PUTRAJAYA –  Semua 25,000 peniaga pasar tani di seluruh negara tidak dibenarkan mengambil bekalan daripada pemborong mulai 1 Jun depan sebagai langkah menurunkan harga.

 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu dijangka dapat mengurangkan harga barangan keperluan antara lima hingga 20 peratus.

 

Bagi memudahkan peniaga mendapatkan bekalan, beliau berkata 100 lagi pusat pengumpulan bekalan baharu akan diwujudkan tahun ini sebagai tambahan kepada 100 pusat pengumpulan sedia ada.

 

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Pertubuhan Peladang akan membuat padanan dengan peniaga dan Jabatan Pertanian juga berjanji akan padankan tanaman kekal pertanian dengan peniaga pasar tani bagi memastikan mereka sentiasa mendapat bekalan mencukupi,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian dan pelancaran kad Agro Visa Debit Agrobank, di sini hari ini.

 

Ismail Sabri berkata surat peringatan kepada peniaga telah dikeluarkan dan Fama akan bertemu dengan mereka untuk memberi penerangan mengenai perkara itu.

 

Menurutnya, peniaga yang gagal mematuhi arahan itu selepas tempoh yang ditetapkan akan dikeluarkan daripada senarai peniaga pasar tani.

 

“Kami  beri tempoh kepada mereka sehingga Jun untuk bersedia dan tujuan kita adalah untuk membantu mereka mendapatkan produk yang lebih baik bukan untuk mengeluarkan mereka,” katanya.

 

Beliau berkata langkah itu juga selaras dengan tujuan asal pasar tani iaitu untuk memudahkan petani memasarkan produk mereka.

 

“Sekarang ada dua jenis peniaga di pasar tani iaitu petani sendiri yang berniaga atau peniaga yang membeli bekalan daripada pemborong, sebab itu ada harga yang rendah dan ada yang tinggi … ini sudah lari daripada tujuan asal penubuhannya,” katanya.

 

Setakat ini, terdapat 580 pasar tani di seluruh negara. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.