Pendapatan FGV Naik 30.8 Peratus, Kemarau Panjang Rendahkan Keuntungan

Kuala Lumpur  – Kemarau panjang yang dialami semasa suku pertama tahun lepas menjejaskan pengeluaran dan menyebabkan keuntungan pracukai lebih rendah pada RM826.37 juta bagi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2014, berbanding RM1.563 bilion pada 2013.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan menokok 30.8 peratus kepada RM16.434 bilion tahun lepas berbanding RM12.568 bilion yang dicatat pada 2013, disebabkan terutamanya oleh kesan tahun penuh penggabungan Felda Holdings Bhd ke dalam FGV.

 

Gergasi pertanian dan agrokomoditi itu berkata peningkatan pengeluaran kacang soya, kejatuhan mendadak harga minyak mentah dan isu perbankan bayangan di China menyebabkan peningkatan harga komoditi dan menganjak permintaan dalam pasaran minyak sayur-sayuran.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata kumpulan mencatatkan harga purata minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi pada RM2,410 setan berbanding RM2,333 setan pada 2013 serta kadar perahan minyak lebih tinggi sebanyak 21.01 peratus berbanding 20.44 peratus yang direkod pada 2013.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berkata keupayaan FGV memacu penambahbaikan operasi dan kecekapan serta mengurangkan kos operasi di ladang-ladang membolehkan ia kekal berdaya tahan dan mencatat prestasi memuaskan di tengah-tengah persekitaran pasaran yang sentiasa berubah.

 

FGV mengunjurkan 2015 sebagai satu lagi tahun mencabar bagi kumpulan dan industri disebabkan harga minyak mentah lebih rendah, kelembapan ringgit berbanding dolar AS dan ketidaktentuan harga MSM. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.