Media Britain Dikecam Kerana Keliru Antara Malaysia Dan Indonesia

Kuala Lumpur – Nampaknya media Britain masih keliru antara Malaysia dan Indonesia.

 

Kekeliruan itu jelas kelihatan dalam sebuah artikel yang diterbitkan akhbar The Independent, semalam, dengan tajuk: “Rakyat Malaysia buat tunjuk perasaan bakar gambar Tony Abbott, selepas menggunakan bantuan tsunami sebagai tawaran untuk pengampunan hukuman”.

 

Menurut laporan itu, “rakyat Malaysia” marah dengan Perdana Menteri Australia yang mahu dua rakyatnya yang didapati bersalah menyeludup dadah, dibebaskan.

 

Namun, jenayah itu sebenarnya dilakukan di Indonesia dan bukan di Malaysia.

 

Walaupun tajuk dan keterangan gambar menyebut nama Malaysia, namun laporan berkenaan merujuk kepada kemarahan pelajar Indonesia yang membakar gambar Abbott, susulan komen beliau mengenai bantuan AUS$1 bilion (RM2.85 bilion) yang dihantar negara itu kepada Indonesia, ketika badaian tsunami pada 2004.

 

“Rakyat Indonesia berang, selepas Tony Abbott dikatakan meminta “balasan”, ketika membincangkan hukuman dua rakyat Australia itu,” lapor The Independent.

 

Kempen mereka turut merangkumi pengumpulan AUS$1 bilion dalam bentuk duit syiling untuk dipulangkan kepada Australia.

 

Sekali lagi, akhbar itu membuat kesilapan, apabila menyiarkan gambar duit syiling Malaysia yang kemudiannya dikongsi di laman sosial Facebook dan Twitter, sebagai balasan kempen berkenaan.

 

Ia turut menyebut “Peguam Negara Malaysia, HM Prasetyo” berkata, kerajaan negara itu sudah membuat keputusan menjatuhkan hukuman mati ke atas dua rakyat Australia terbabit dan Menteri Luar Malaysia menganggap komen Abbott sebagai satu ancaman.

 

Prasetyo sebenarnya adalah Peguam Negara Indonesia.

 

Beberapa pembaca yang menyedari kesilapan itu, bertindak menegur akhbar berkenaan, dengan menyatakan Indonesia dan Malaysia adalah dua negara berbeza.

 

Dalam bahagian komen, seorang pembaca yang dikenali sebagai IKNOWSTUFF menulis: “Indonesia dan Malaysia adalah dua negara berbeza”.

 

Seorang pembaca, Mac Foon menjawab: “Benarkah? Saya akan tanya editor Indi, dia sepatutnya tahu.”

 

Seorang lagi pembaca bernama UKISNOTUS turut menegaskan, Indonesia dan Malaysia adalah dua negara berbeza.

 

“Wartawan atau editor tidak membuat kerja mereka? Kami mengharapkan yang terbaik dari The Independent,” tambah seorang pembaca lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.