Liga Europa: Liverpool Kembali Ke ‘Gelanggang Istimewa’ Temu Besiktas

PARIS – Liverpool akan kembali ke gelanggang penuh memori yang pernah memberi mereka detik kemasyhuran selaku juara Eropah pada 2005.

 

Awal pagi Jumaat, anak didik Brendan Rodgers akan menentang Besiktas di Stadium Ataturk Olympic di Istanbul dalam perlawanan kedua, pusingan ke-32 Liga Europa.

 

Ini adalah gelanggang sama The Reds menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas menewaskan AC Milan dalam final yang penuh dramatik hampir 10 tahun lalu.

 

Jadi, Raheem Sterling dan rakan sepasukan pasti mengharapkan tuah sama di gelanggang yang dianggap istimewa oleh penyokong mereka.

 

Dalam perlawanan itu, Liverpool yang ketinggalan 0-3 bangkit menyamakan kedudukan 3-3 sebelum menang menerusi sepakan penalti untuk menjuarai kejohanan itu buat kali kelima.

 

Kali ini, hadiah yang diburu cuma tiket ke pusingan ke-16 dan mereka memiliki kelebihan dengan bekalan kemenangan 1-0 ke atas lawan di Anfield, minggu lalu hasil jaringan menerusi sepakan penalti oleh Mario Balotelli.

 

Liverpool belum tewas pada tujuh perlawanan terakhir manakala Besiktas menanggung kekalahan selepas kecundang kepada Eskisehirspor 1-0 dalam Liga Super Turki, minggu lalu.

 

“Kami mahu memulakan rentak kemenangan baharu dan ia akan bermula dengan perlawanan menentang Liverpool,” kata jurulatih Besiktas, Slaven Bilic.

 

“Saya mengharapkan pemain saya bermain sungguh-sungguh untuk menang di tempat sendiri dan menebus kecewa kalah dalam perlawanan minggu lalu.” – AFP / BH

 

REKOD PERTEMUAN LIVERPOOL-BESIKTAS

 

(Liga Europa)

2014/2015 (19 Februari) – Liverpool 1 – 0 Besiktas

 

(Liga juara-Juara)

2007/2008 (6 November) – Liverpool 8 – 0 Besiktas

2007/2008 (24 Oktober) – Besiktas 2 – 1 Liverpool

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.