Ketua Polis Tak Gentar Diugut Bunuh

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau tidak gentar dengan ugutan diterimanya berkaitan satu klip video oleh tiga individu yang menggelarkan mereka sebagai Kumpulan Anak Malaysia Anti-Demokrasi.

 

Menyifatkan ia satu tindakan tidak bertanggungjawab, Khalid menjelaskan apa yang dilakukan individu itu membuktikan mereka sememangnya tidak kenal erti sebenar sistem demokrasi yang sekian lama diamalkan di negara ini.

 

“Ugutan sedemikian tidak langsung menakutkan saya sebagai Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

 

“Ia adalah lumrah dalam kehidupan seorang pegawai polis yang menjalankan tugasnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, aktiviti dan identiti kumpulan terbabit juga kini sedang dikesan pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Terdahulu, Khalid mengulas mengenai penyebaran satu klip video berdurasi 1.27 minit, memaparkan tiga individu bertopeng mendakwa akan membunuh seorang pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Mengulas lanjut, Khalid turut menyuarakan kebimbangannya terhadap tindakan segelintir masyarakat di negara ini yang tidak menggunakan saluran demokrasi sedia ada dan sering melakukan perbuatan salah di sisi undang-undang.

 

“Saya yakin masyarakat Malaysia tidak mahu melihat negara ini menjadi huru-hara akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab.

 

“Saya menyeru kepada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang niat jahat sedemikian menghentikannya dengan serta merta kerana ia boleh membawa implikasi keselamatan serius dan merosakkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” katanya.

 

Dalam pada itu, Khalid turut memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang ke atas sesiapa saja yang menganggu-gugat keamanan negara ini. – BHarian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.