Jatuhkan Hadi Awang Masa Pemilihan – Ustaz Azhar Idrus

Shah Alam – Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata jika ada pihak yang ingin menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ia mestilah dibuat mengikut cara yang sah iaitu melalui pemilihan parti Jun ini.

 

“Presiden dilantik semasa pemilihan. Kalu nak buang presiden ada caranya. Kena tunggu masa pemilihan. Jangan duduk sebor (sebar) cerita macam macam,” katanya ketika memberikan kuliah agamanya di Masjid Pulau Ketam, semalam.

 

Ustaz Azhar juga mengingatkan agar individu yang cuba diangkat untuk menggantikan Hadi mestilah jauh lebih baik daripada Ahli Parlimen Marang itu.

 

“Kalu nak ganti biarlah hak setaraf dengan hak ada, jgn lebih teruk dari yang ada.

 

“Kalau salah pilih tunggulah pembalasan Allah SWT,” ujarnya lagi.

 

Ustaz Azhar yang sebelum ini mengaku bukan ahli PAS turut menyindir beberapa pihak yang didakwa menuduh Hadi sebagai ‘bodoh dalam berpolitik’.

 

“Mung (kau) kata presiden dok (tak) pandai politik…mung (kau) pandai sangat ke? Mung (kau) kata presiden dok (tak) pandai ekonomi…mung (kau) pandai sangat ke? Mung (kau) kata presiden dok (tak) pandai agama…mung (kau) pandai sgt ke? Biar reti (pandai) sikit jangan duk (asyik) sedap kira nak komplen ulama saja,” ujarnya lagi.

 

Ustaz Azhar berkata demikian ketika sesi soal jawabnya apabila diajukan soalan berhubung wujud kelompok yang dilihat semakin berani mencabar dan mengkritik Hadi dan golongan ulama dalam PAS.

 

Krisis dalaman PAS kini menjadi tumpuan media dan rakyat celik isu politik. Jika dahulu krisis dalaman itu pantas dinafikan pemimpin dalam parti itu, tapi kini tidak lagi.

 

Pendedahan demi pendedahan dibuat sekaligus menguatkan spekulasi bahawa berlaku sesuatu diantara golongan ulama dengan golongan profesional dalam PAS.

 

 

Sebuah Facebook yang menggunakan nama samaran Tuc Tok Usin Ceroi sebelum ini menyebarkan rakaman audio yang mirip suara Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu – dipercayai sedang memberikan taklimat kepada usaha menggulingkan Hadi.

 

Pengendali Facebook itu juga menjanjikan lebih banyak pendedahan akan dibuat berhubung gerakan itu.

 

Beberapa pimpinan ulama dalam PAS menggesa Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu disiasat bersabit pendedahan rakaman audio itu.

 

Terdahulu Dewan Pemuda PAS Kuantan membuat pendedahan yang sama iaitu wujud gerakan menjatuhkan Hadi dan mereka menamakan Pengarah pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli sebagai dalangnya.

 

Hatta ketika dihubungi Antarapos enggan mengulas mengenai dakwaan itu. Namun sehingga kini tiada sebarang arahan atau cadangan agar Hatta juga disiasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.