Jangan Rebah Kerana Hilang Patriotisme

SANGAT seronok membaca ­ak­h­­­­­­­­­bar mengenai sejuta orang me­mohon menjadi polis. Ini seolah-olah menggambarkan yang ramai anak muda berlumba-lumba menjaga keselamatan negara dan cintakan keamanan. Perkembangan ini juga baik demi mengukuhkan semangat patriotisme dan me­nye­marakkan lagi kasih sayang kepada negara.

 

Jelas sekali kerjaya sebagai anggota polis menjadi kebanggaan kebanyakan anak muda di negara ini biarpun ada segelintir yang tega menghina polis dan melemparkan pelbagai cacian kerana terlalu taksub dengan individu dan parti politik tertentu.

 

Peningkatan permohonan kala­ngan bukan Melayu untuk menyer­tai pasukan keselamatan itu juga membuktikan kerjaya polis bukan hanya eksklusif untuk orang Me­layu. Dalam pada itu, tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam juga bukan terbeban di bahu satu pihak sahaja bahkan adalah tanggungjawab bersama.

 

Ketika anak muda diajak menyertai perhimpunan jalanan dan tenaga mereka dikerah untuk mencetuskan demonstrasi liar, pada hakikatnya hanya segelintir yang terlibat. Majoriti anak muda menolak cara tersebut yang dianggap sia-sia. Anak muda semakin bijak dan mampu berfikir secara rasional bahawa sebagai peme­gang kuasa undi yang berpengaruh, kenapa harus turun di jalanan untuk membuat paksaan dan desakan dengan melanggar undang-undang. Anak muda zaman kini juga tidak lagi mudah dibeli dengan wang ringgit dan dibayar upah untuk menyertai pelbagai demonstrasi.

 

Tragedi Bukit Kepong pada tahun 1950 haruslah dijadikan satu ingatan kepada generasi muda bahawa nikmat kemerdekaan adalah hasil daripada pengorbanan wira terdahulu yang terdiri daripada anggota keselamatan khasnya polis.

 

Justeru program patriotisme harus diperkasakan lagi dalam kalangan generasi muda. Mereka tidak harus dibiarkan terus-terusan disogokkan dengan program berunsur politik.

 

Pada masa ini pun minda mereka dicelarukan oleh pelbagai maklumat yang digembar-gembur dalam media sosial sehingga menjadi viral untuk membenci negara, sehingga membuatkan jiwa patriotik anak-anak muda ini semakin kendur.

 

Program patriotisme yang semakin sepi dan suram menyebabkan anak-anak muda kini mudah diresapi kecelaruan maklumat tersebut selain dibelai dengan pelbagai program bersifat hiburan.

 

Program patriotisme bukan ha­nya untuk Program Latihan Khid­mat Negara (PLKN) sebaliknya harus diperluaskan kepada seluruh generasi muda. Minda mereka harus diisi dengan semangat cintakan keharmonian negara.

 

Dengan ancaman kumpulan pengganas Negara Islam (IS) yang bergerak aktif untuk merekrut anak muda, hanya program-program berunsur patriotisme dapat mengekang mereka daripada terpengaruh dan terpedaya.

 

Tanpa semangat patriotisme, sesebuah bangsa akan hanyut tanpa pedoman.

 

Semangat patriotisme ini bukan hanya terhad dalam soal mempertahankan negara daripada sera­ngan musuh yang nyata tetapi juga dalam membendung kegiatan jenayah di negara ini serta taat patuh kepada undang-undang negara.

 

Semasa Ops Daulat memerangi kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah, tindakan segelintir rakyat Malaysia yang cuba memperlekeh­kan peranan anggota keselamatan mempertahankan negara menggambarkan jiwa mereka yang kosong daripada semangat patriotik.

 

Anak muda adalah perisai dan pedang dalam menjaga keselamat­an negara daripada ancaman agenda dan anasir asing. Anak muda bukan sekadar menjadi tentera dan polis yang memegang senjata menjaga negara malah boleh melaksanakan tanggungjawab ini dengan menjadi pahlawan siber mengekang fitnah di laman maya yang boleh mengancam keselamat­an dan keharmonian negara.

 

Kita boleh bertikam lidah me­ngenai politik dan berbeza pendapat dalam pelbagai isu tetapi kita tidak boleh mengetepikan sema­ngat patriotisme.

 

Ketika lagu Negaraku dimainkan di dalam pawagam, kenapa tidak mahu berdiri untuk menghormati panji negara itu, bahkan ada rakyat Malaysia sendiri mempertikaikan langkah untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

 

Ini bukan soal politik. Ini soal semangat cintakan negara kita.

 

Semoga impian sejuta anak muda yang memohon menjadi anggota polis memberikan satu signal atau isyarat bahawa generasi muda masih tebal dengan semangat patriotisme. Sejuta yang memohon ialah mereka yang bersedia menawarkan diri berkhidmat untuk negara.

 

Biarlah semangat patriotisme bergelora sepanjang masa bukan pada hari kemerdekaan sahaja.

 

Momentum kemerdekaan lebih 57 tahun ini diharapkan akan me­ngukuhkan semangat jati diri rak­yat Malaysia untuk terus bersikap patriotik bukan hanya di padang bola ketika bersorak menyokong skuad negara bahkan dalam apa jua keadaan dan ketika, termasuk menyokong produk buatan Malaysia.

 

Tebalkan semangat patriotisme agar kita tidak rebah gara-gara kehilangan rohnya. – UTUSAN

 

PENULIS ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu 
Semenanjung Malaysia (GPMS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.