Isu Pati: Tiada Lagi Kompaun, Terus Heret Ke Mahkamah – Imigresen

Kuala Lumpur – Tiada lagi kompaun dikenakan, malah mereka akan diheret terus ke muka pengadilan.

 

Itu tindakan tegas Jabatan Imigresen terhadap individu yang cuba menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati).

 

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata, langkah berkenaan terpaksa diambil ekoran banyak majikan sanggup membayar kompaun daripada membuat permit untuk pekerja asing mereka.

 

Operasi menggempur sarang Pati kini lebih tertumpu kepada mengesan majikan yang masih berdegil dan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka.

 

Setakat hari ini, 325 majikan sudah dikenakan tindakan kompaun, namun kaedah itu dilihat tidak efektif.

 

Dalam pada itu, 174 unit pangsapuri di sekitar Lembah Klang dikenal pasti menjadi pusat kediaman warga asing.

 

“Kita sudah mula ambil tindakan tegas terhadap majikan yang ambil Pati bekerja. Tiada kompaun lagi selepas ini; mereka akan dibawa terus ke mahkamah.

 

“Kita sekarang lebih tertumpu kepada tindakan terhadap majikan, kompaun nampak tak berkesan, majikan sanggup bayar,” kata Mustafa.

 

Malam tadi, lebih 400 warga asing ditahan setelah gagal menunjukkan pasport dan permit sah di Pangsapuri Desa Tun Razak di ibu negara.

 

Operasi bersepadu melibatkan Jabatan Imigresen Putrajaya dan Jabatan Pendaftaran Negara pada jam 12 malam itu dilakukan hasil aduan awam yang tidak selesa dengan kebanjiran warga asing di kawasan terbabit.

 

Ketika diserbu, hampir kesemuanya hanya mempamerkan salinan pasport dan permit.

 

Kesemua mereka dibawa ke ibu pejabat Imigresen di Putrajaya untuk proses saringan dokumentasi. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.