Harimau Mati Gara-Gara Bunga Api

Beijing – Seekor harimau berusia tujuh bulan mati, selepas terjatuh dari sebuah bangunan tinggi di China, gara-gara takut dengan pembakaran bunga api, ketika sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

 

Akhbar Peninsula City pada Rabu melaporkan, satu pasangan memaklumkan polis berhubung penemuan bangkai seekor harimau berlumuran darah yang disangkakan anjing besar, bersebelahan sebuah bangunan di Pindu, Wilayah Shangdong, selepas mereka menghadiri makan malam Tahun Baru Cina.

 

Polis mengesyaki harimau itu yang takut dengan bunyi bising hasil pembakaran bunga api, bertindak memecahkan sangkar di sebuah pangsapuri, sebelum mati akibat terjatuh daripada bangunan tinggi.

 

Polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

 

Akhbar itu juga tidak memberi sebarang maklumat berhubung pemilik harimau berkenaan.

 

Populasi harimau dalam kurungan meningkat secara mendadak kepada 6,000 ekor di kira-kira 200 ladang di seluruh China, dalam beberapa tahun ini.

 

Tetapi menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa, jumlah harimau di seluruh dunia berkurangan daripada 100,000 ekor sejak seabad lalu, kepada hanya 3,000 ekor hari ini.

 

Sejak sekian lama, perubatan tradisional Cina menggunakan tulang harimau yang dikatakan boleh menguatkan badan manusia.

 

Sehubungan itu, China telah melarang penjualan tulang harimau pada 1993.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.