Hampir Sejam Meraung Kesakitan

Ipoh – Selepas hampir sejam meraung kesakitan, baru dibawa ke hospital, itu azab terpaksa ditempuh seorang bayi lelaki berusia 12 bulan yang melecur di muka dan badannya selepas dikatakan tersimbah segelas air panas di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di sini, kelmarin.

 

Ketika kejadian, C Demarcus Rozario didakwa menarik lapik meja yang terdapat segelas air panas di atasnya di dapur taska terbabit.

 

Ibu mangsa, K Merry Elina, 39, berkata, dia mengetahui insiden menimpa bayinya itu selepas dihubungi pekerja taska.

 

“Saya dapat dengar anak saya menjerit dan menangis kesakitan ketika mereka telefon.

 

“Saya panik dan terus telefon suami dan suruh dia ambil anak kami selepas pihak taska beritahu mereka tunggu kedatangan kami untuk bawa Demarcus ke hospital,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Wisma DAP di sini semalam.

 

Hadir sama, Adun Buntong, A Sivasubramaniam; Adun Jelapang, Teh Hock Ke dan Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

 

Merry berkata, dia kemudiannya bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anaknya itu dan pada mulanya menyangka kecederaan dialami Demarcus tidak teruk.

 

“Saya ingatkan melecurnya tak teruk tetapi, selepas melihatnya saya tahu ia bukan disebabkan segelas air panas seperti didakwa,” katanya.

 

Dia yang bekerja sebagai kerani di Klebang bergegas ke hospital selepas dimaklumkan oleh pihak taska bahawa anaknya cedera tersimbah segelas air panas.

 

Menurutnya, dia dan suami, J Charles, 40, terkilan apabila pekerja taska dilihat sambil lewa kerana tidak terus membawa anak mereka ke hospital tetapi hanya menyapukan sejenis krim pada kesan kecederaan bayi malang itu.

 

Katanya, pihak taska tergamak melihat bayinya menangis kesakitan selama hampir sejam dan mengharapkan dia serta suami membawa Demarcus mendapatkan rawatan di hospital.

 

“Mereka juga enggan menghubungi ambulan ketika diminta berbuat demikian sebaliknya mengarahkan suami menghantar anak kami ke hospital,” katanya.

 

Merry berkata, laporan polis sudah dibuat berhubung insiden menimpa anaknya itu.

 

Katanya, dia dan suami bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha taska terbabit yang dilihat seolah-olah mahu lepas tangan.

 

“Pemilik dan pekerja taska terbabit ada datang melawat dan minta maaf namun, mereka seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab seperti menanggung kos perubatan anak kami yang cedera disebabkan kecuaian mereka,” katanya.

 

Menurutnya, Demarcus kini masih lemah dan dirawat di Hospital Fatimah.

 

Sementara itu, Sivasubramaniam berkata, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengambil tindakan terhadap pengusaha taska dan pekerjanya yang cuai hingga menyebabkan bayi berkenaan cedera.

 

“Kita juga sedia memberi bantuan dari sudut perundangan kepada pasangan suami isteri ini berhubung kecuaian pihak taska yang mengabaikan aspek keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka,” katanya.

 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ahmat mengesahkan menerima laporan mengenai insiden terbabit dan memaklumkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas pengusaha taska berhubung perkara tersebut tidak berhasil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.