Geng Dadah Guna Facebook Rekrut Pelajar

KOTA BHARU – Sogokan dan ganjaran mewah yang ditawarkan golongan pengedar untuk merekrut pelajar menyertai mereka dalam ‘geng’ dadah melalui laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp menarik minat ramai remaja di negeri ini terlibat dalam kancah sosial terbabit.

 

Taktik rangkaian pengedar itu yang dipercayai merupakan rakan sekampung dan kenalan sekolah pelajar berkenaan, aktif menjalankan aktiviti terbabit melalui cara itu sejak sekian lama memandangkan mereka mudah mempengaruhi golongan terbabit yang sudah dikenali rapat.

 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, akibat termakan pujuk rayu untuk mendapat kehidupan mewah dengan mudah, ramai yang terjebak sehingga menyebabkan masa depan mereka musnah.

 

“Kita tengok sahaja pada tahun ini, dalam tempoh tidak sampai dua bulan sepanjang Januari sehingga 24 Februari, seramai 70 remaja berusia 18 tahun ke bawah ditahan berhubung kes dadah.

 

“Angka ini walaupun menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu, tapi agak tinggi dan perkara ini harus dipandang serius kerana dari 70 tangkapan itu 16 merupakan pelajar sekolah dan selebihnya keciciran sekolah.

 

“Mereka terjebak, apabila pengedar ini pandai menggunakan pujuk rayu dan setelah melihat ganjaran lumayan ditawarkan kebanyakkannya terjebak kerana kurangnya perhatian keluarga dan mencari keseronokkan di luar dan akhirnya terpengaruh,”katanya kepada media.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen “Saya Benci Dadah” peringkat negeri yang melibatkan 30 sekolah dan 250 pelajar sekitar Kota Bharu di pekarangan dewan Ibu Pejabat Kelantan (IPK) di sini, hari ini.

 

Mazlan berkata, bagi mengekang gejala dadah di negeri ini, beliau turut mengarahkan ketua-ketua polis daerah turun ke sekolah-sekolah menyampaikan ceramah berhubung kesan dan akibat dadah.

 

“Saya juga turut turun sendiri ke sekolah di daerah-daerah dalam usaha memantau kegiatan penyalah gunaan dadah dalan kalangan pelajar memandangkan ramai mudah terjebak tanpa berfikir panjang.

 

“Di samping itu kawalan dari keluarga dan perhatian perlu diberikan kepada remaja supaya tidak mudah terlibat memandangkan ramai remaja bermasalah ini majoritinya terdiri dari mereka yang kurang kasih sayang dan kematian bapa,” katanya.

 

Mazlan berkata dalam usaha memerangi gejala ini, pihaknya akan terus mengiatkan usaha berlipat ganda bagi memastikan kes dadah di negeri ini dapat ditangani.

 

“Saya bagi amaran kepada pihak terlibat yang merekrut golongan muda ini, bahawa kita tidak akan berkompromi bagi membanteras secara habis-habisan gejala ini hingga ke akar umbi.

 

“Ini perlu kerana golongan berkenan (pendegar) tidak akan berdiam diri dan akan terus mencari pelajar ini bagi memudahkan kerja mereka menghantar bekalan dan stok dadah dan terus mempengaruhi golongan muda,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.