Dua Bulan Jual Air Ketum

Jitra – Hasrat seorang lelaki untuk menikmati keuntungan hasil kegiatan menjual air ketum tidak kesampaian apabila aktivitinya itu berjaya dihidu pihak polis.

 

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menyerbu rumah lelaki tersebut di Jalan Guar Napai, Kampung Wang, kelmarin.

 

Difahamkan, suspek berusia 23 tahun yang juga seorang penganggur baharu sahaja memulakan kegiatan menjual air ketum sejak dua bulan lalu.

 

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim berkata, serbuan pada jam 11 pagi diketuai Inspektor Buddy Arman itu menemui sejumlah cecair dipercayai air rebusan ketum.

 

Menurutnya, pemeriksaan ke atas rumah tersebut mendapati air ketum berkenaan telah siap diisi dalam botol ditemui di bahagian dapur.

 

“Siasatan awal mendapat air ketum tersebut berjumlah 17 liter yang diisi dalam 17 botol plastik berasingan.

 

“Bekalan air ketum ini dipercayai diproses sendiri oleh suspek sebelum dijual di pasaran sekitar. Siasatan lanjut mendapati suspek tiada sebarang rekod kesalahan lampau dan ini kesalahan pertamanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

 

Suspek ditahan reman selama empat hari untuk tindakan lanjut bermula semalam. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.