Dr Mahathir ‘Laris’ Di Mesir

Petaling Jaya – “Cuba tuan-tuan bayangkan Tun Mahathir Mohammad menjadi bahan kempen di Kaherah, (Mesir),” demikian petikan syarahan perdana bekas Pengarah UMcedel, Prof. Madya Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berjudul ‘Merentasi Sempadan yang Melewati Zaman: Timur Tengah, Islam dan Masyarakat Melayu’.

 

Mohammad Redzuan berkata demikian merujuk kepada hasil dapatannya mengenai persepsi orang Timur Tengah mengenai Malaysia.

 

Mengulas lanjut, Mohammad Redzuan berkata, perkara itu berlaku pada tahun 2004 di mana satu kumpulan pro demokrasi di Mesir bernama Kifayah telah diasaskan bagi mendesak Husni Mobarak meletak jawatan.

 

“Dalam kempen tersebut apa yang menariknya kumpulan ini menjadikan Tun Mahathir yang meletak jawatan setelah 22 tahun memerintah sebagai contoh.

 

“Ini menunjukkan betapa beliau dianggap menjadi satu contoh yang terbaik (positif),” katanya ketika menyampaikan syarahan perdananya di Universiti Malaya, hari ini.

 

Mengulas lanjut, dalam nada bergurau beliau berkata adalah tidak mustahil Dr Mahathir menang kalau bertanding di Mesir.

 

“Sebab itulah saya pernah bergurau dengan Datuk Mansor pada ketika itu Dr Mahathir kalah bertanding untuk bahagian beliau… kalau dia bertanding di Kaherah mungkin menang,” katanya sambil disambut gelak tawa peserta.

 

Dalam pada itu, katanya aspek positif lain yang dipandang masyarakat Timur Tengah terhadap orang Malaysia adalah dari segi ketertiban menunaikan haji.

 

“Selain itu, aspek positif keterlibatan jemaah haji turut dipandang mereka.

 

“… di samping penerimaan ribuan tenaga mahir orang kita di sektor kewangan dan kejuruteraan di pasaran Timur Tengah… kerana mereka menganggap tahap profesional kita setanding barat,” katanya. – Sinar Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.