DAP Boleh Pergi Bila-Bila Masa

Pemimpin PAS dan DAP terus balas membalas dalam isu cadangan pelaksanaan hudud di Kelantan, menyebabkan hubungan dalam Pakatan Rakyat terus dilambung ombak.

 

Terkini isu itu disemarakkan lagi dengan kenyataan ulama parti Islam itu Nasrudin Hassan yang berkata DAP bila-bila masa sahaja meninggalkan PAS seperti sebelum ini.

 

“DAP pernah meninggalkan PAS semasa era Barisan Alternatif (BA) kerana tidak bersetuju dengan kanun jenayah syariah (hudud) yang diperjuangkan oleh PAS,” kata anggota jawatankuasa pusat PAS itu.

 

“Kenapa hari ini DAP perlu mengugut PAS sedang bila-bila masa DAP boleh berangkat pergi, namun mengharap PAS berhenti berjuang ke arah melaksanakan syariat Allah SWT, maka ia bagai menanti sang keli tumbuh sisik.”

 

Menulis di Facebook, Nasrudin semalam berkata siapa pun tokoh digunakan parti itu untuk “mengherdik dan mengugut”, PAS tidak akan berganjak daripada dasar dan prinsip perjuangannya.

 

Sebelum Pakatan, PAS, DAP dan PKR (ketika itu Parti Keadilan Nasional), Parti Rakyat Malaysia (PRM) bergabung sebagai BA pada 1999.

 

Gabungan itu hanya bertahan hampir tiga tahun akibat perbezaan pendapat PAS dan DAP dalam isu-isu dasar berkaitan agama Islam. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.