Cipta Produk Inovasi Seperti Iphone 6

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pihak industri dan syarikat di negara ini menghasilkan produk berinovasi tinggi untuk bersaing diperingkat global.

 

Kata Najib, pihak industri tidak seharusnya terperangkap dalam persaingan dari sudut harga dan kos tetapi bersaing dari sudut nilai dan teknologi.

 

Mengambil contoh produk telefon bimbit, Najib mahu pihak yang terlibat mengikut langkah yang diambil oleh syarikat Apple yang berjaya mencipta Iphone 6 lebih baik dari telefon bimbit yang lain.

 

“Kerana produk itu mempunyai nilai yang lebih tinggi dan berbeza dengan produk-produk yang lain. Kalau diletak dengan harga yang tinggi pun, tidak menyebabkan orang tidak membeli.

 

“Malah lebih tinggi harga itu, lebih rasa bangga dapat produk seperti itu,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Public-Private Research Network (PPRN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

 

Bagi tujuan itu, Najib berkata perlu ada kerjasama strategik antara pihak industri dan akademik.

 

PPRN merupakan antara platform terbaik untuk penyelidik memberikan sumbangan kepada industri untuk meningkatkan produktiviti dan meningkatkan rantaian nilai ekonomi.

 

“Kerajaan melalui PPRN akan membiayai sebahagian kos penyelidikan tersebut secara ‘matching grant’ sehingga RM50 ribu bagi setiap penyelidikan.

 

“Bagi menggalakkan penyertaan aktif para penyelidik dan pensyarah pula, sukacita saya mengumumkan insentif khas di mana penyelidik dan para pensyarah akan layak menerima yuran konsultansi sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan kos penyelidikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.