Bomoh Guna Kucing Untuk Pemujaan

Kuala Lumpur – Lebih empat tahun, ratusan penghuni di sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Muda, di sini, hidup dalam keadaan tidak tenteram hanya kerana sikap pelik salah seorang penghuni sebuah unit di situ.

 

Individu yang dipercayai tinggal bersama isterinya itu mendakwa dirinya sebagai seorang bomoh handal dan bertindak mengancam sesiapa sahaja yang dirasakan tidak berpuas hati, malah adakala tanpa sebab.

 

Lebih memburukkan keadaan, lelaki yang tinggal di tingkat atas itu juga didakwa membela lebih 40 ekor kucing dan tanpa rasa bersalah melemparkan najis-najis haiwan itu ke bawah bangunan.

 

Tidak tahan dengan keadaan itu, beberapa penduduk pernah cuba menegur perbuatannya, namun dibalas dengan kata-kata ugutan dan ada yang pernah dipukul.

 

Salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sudah terlalu lama individu itu bermaharajalela dan ‘kebal’ dengan tindakan pihak berkuasa walaupun pernah ditahan.

 

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian penghuni lain,  kucing-kucing yang dibela didakwa digunakan untuk upacara pemujaan.

 

“Pernah ada penduduk lihat dia tanam kucing yang berdarah. Tapi kucing-kucing yang dibela semua dalam rumah. Tidak dibiarkan merayap.

 

“Rumahnya juga berpagar di kaki lima. Sesiapa pun tidak berani lalu. Jika mengikut peraturan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak benarkan pasang pagar itu.

 

“Tapi saya difahamkan orang DBKL juga tak berani dengannya kerana pernah dia keluarkan parang ketika pihak berkuasa datang” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

 

Seorang lagi penduduk berkata, lelaki berkenaan pernah dilihat menaburkan kacang hijau dan mengasap kemenyan di sekeliling tingkat unit yang dihuninya.

 

Katanya, lelaki itu berperangai pelik sejak awal menghuni di situ malah sebelum ini pernah ‘buat perangai’ mandi beramai-ramai bercampur lelaki dan perempuan, di bahagian kaki lima depan unit rumahnya.

 

“Mereka separuh bogel. Lelaki itu letakkan bekas air seperti kolam di luar rumah, kemudian mereka mandi sama-sama. Orang yang datang juga sering bertukar.

 

“Jika terserempak dalam lif atau di mana-mana, janganlah dipandang, dia akan mengamuk tak tentu hala. Dia juga mendakwa ada pegang kad merah (sakit mental). Jadi dengan itu juga buat orang takut,” katanya.

 

Sementara itu, seorang lagi penduduk pernah menjadi mangsa ugutan lelaki berkenaan kerana menegurnya tentang air najis yang dibuang.

 

“Atap balkoni sampai berlubang. Jika air biasa, tak akan jadi begitu. Bila saya tegur, dia ugut mahu bakar rumah dan bunuh keluarga saya.

 

“Saya buat laporan polis kerana bimbang keselamatan terancam. Malah sebelum ini ada juga laporan polis dibuat penduduk lain dan dia pernah ditahan, tetapi tak lama. Bila dia balik ke rumah, dia timbulkan masalah lagi,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid menyifatkan perlakuan menyeksa haiwan biasanya dikaitkan dengan masalah peribadi individu tersebut.

 

Beliau juga menyarankan pihak berkuasa mengambil tindakan segera sebelum keadaan bertambah buruk.

 

“Hanya orang bermasalah yang seksa binatang. Dalam hal ini kita tak tahu kebenarannya, jadi kita perlu bantu individu itu dan bantu selamatkan kucing-kucing yang dibelanya.

 

“Secara peribadi, kita tidak boleh sewenang-wenangnya tuduh dia seksa binatang kerana kita tidak nampak. Orang yang ‘sihat’ tak akan buat.  Dia perlu dibantu, kena risik dan siasat melalui bantuan pakar psikologi, pakar agama dan lain-lain,” katanya.

 

Tambah Khalid, membela 40 ekor kucing di kediaman jenis bertingkat tidak sesuai apatah lagi mencemarkan najis kucing di sekitar bangunan perumahan.

 

Beliau dalam pada itu bersedia membantu menyelamatkan kucing-kucing berkenaan di samping membuka program angkat.

 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Komuniti DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor berkata, perkara berkenaan dalam perhatian pihaknya.

 

Ujarnya penghuni itu boleh dikenakan tindakan penamatan kontrak kerana menimbulkan kacau ganggu.

 

“Ia melibatkan perkara sensitif jadi laporan polis akan dibuat sebelum tindakan susulan,” katanya. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.