Ancaman Denggi Paling Teruk Dalam Sejarah

Putrajaya – Kes demam denggi yang terus mencatatkan peningkatan dianggap sebagai yang terburuk dalam sejarah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

 

Beliau yang berkata demikian dalam sidang media di kementeriannya hari ini memberitahu, kes demam denggi pada musim sekarang adalah berbeza berbanding yang dilaporkan pada tahun-tahun sebelumnya kerana simptomnya lebih berat.

 

Dari pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi tempoh 1 Januari 2015 sehingga 21 Februari 2015, jumlah kumulatif kes denggi adalah sebanyak 21,310 kes berbanding hanya 13,915 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

 

Negeri Selangor menjadi penyumbang terbesar dengan 7,395 kes iaitu 58 peratus daripada kes keseluruhan.

 

Tambah Subramaniam, simptom penyakit tersebut juga turut berubah.

 

“Jika dulu, pesakit akan mengalami pendarahan dan bintik-bintik pada badan, tetapi kini penyakit tersebut mula menyerang organ dalaman seperti hati dan otak.

 

“Daripada jumlah kes dan manifestasi kes, saya boleh katakan kes denggi kali ini adalah yang paling teruk dalam sejarah,” ujar beliau.

 

Kementerian Kesihatan juga terus memantapkan usaha memerangi denggi dengan melaksanakan teknik semburan Outdoor Residual Spray (ORS) untuk mengawal pembiakan nyamuk aedes.

 

“Teknik ini pernah digunakan ketika kerajaan mengawal wabak malaria” tambahnya.

 

Teknik ini mula digunakan pada 11 Februari 2015 yang ditumpukan kepada empat lokasi yang bermasalah denggi di Selangor iaitu di Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang.

 

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga turut meneliti penggunaan cat dinding antinyamuk yang dihasilkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

 

Paten bagi cat ini dipunyai Kementerian Kesihatan dan pihaknya kini sedang meneliti penggunaan cat ini untuk bangunan komersial dalam mengurangkan kes denggi.

 

Beliau menambah, Ops Gempur Aedes yang dijalankan di 56 buah tapak pembinaan mendapati 52 daripadanya mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes dan kesemua pemilik tapak itu akan didakwa di mahkamah.

 

Sementara itu, sebanyak 44 tapak operasi diarahkan tutup untuk kerja-kerja pembersihan. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.