AFC: JDT Menang Tewaskan East Bengal

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya membuktikan kekebalan di gelanggang keramat mereka apabila berjaya menjinakkan East Bengal 4-1 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan F Piala AFC 2015 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin, di Johor Bahru, malam ini.

 

Gol pembuka tirai JDT diperoleh seawal minit kesembilan hasil sepakan percuma oleh Mohd Nazrin Mohd Nawi selepas pemain tuan rumah dikasari pasukan pelawat.

 

East Bengal bangkit melancarkan serangan ke gawang gol tuan rumah, bagaimanapun Milan Susak dijatuhkan pemain JDT sehingga dihadiahkan sepakan percuma oleh pengadil dari Thailand, Sivakorn Pu-Udom.

 

Sepakan percuma yang dilakukan oleh  Soleye Ranti Martins pada minit ke-34 berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd Izham Tarmizi Roslan sekaligus memberikan gol penyamaan buat pasukan pelawat.

 

Kesilapan anak buah Eelco Schattorie menghalang bola menggunakan tangan mengundang padah apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil.

 

Sepakan penalti oleh Safiq Rahim selaku kapten pasukan JDT pada minit ke-38 berjaya menyumbang gol kedua buat anak buah Bojan Hodak.

 

Dua minit memulakan aksi pada babak separuh masa kedua, gawang gol pasukan India itu sekali lagi bolos hasil tendangan penuh dramatik oleh Chanthuru yang menerima bola leret dari Mohd Fadhli Mohd Shas.

 

Harimau selatan semakin garang melakukan serangan kepada pasukan lawan sehingga memperoleh gol keempat hasil sepakan gunting Safee pada minit ke-53 perlawanan.

 

JDT bakal bertemu dengan Belestier Khalsa di Singapura pada 10 Mac depan untuk perlawanan peringkat kumpulan F. – Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.