31 Maut Dalam Runtuhan Salji

Kabul – Sekurang-kurangnya 31 terbunuh dalam runtuhan salji di kawasan pergunungan Lembah Panjshir, di timur laut Afghanistan.

 

Menurut Pemangku Gabenor Panjshir, Abdul Rahman Kabiri yang dipetik AP, anggota penyelamat terpaksa menggali menggunakan tangan untuk mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan salji.

 

Kira-kira 15 lagi mangsa yang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan salji itu turut cedera.

 

Sekitar 60 kediaman turut tertimbus dalam runtuhan salji itu.

 

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk sampai ke kampung-kampung terjejas, kerana laluan di jalan-jalan utama tersekat, akibat salji tebal yang turun sejak dua hari lalu.

 

Bekalan elektrik di sebahagian Kabul terputus pada Selasa dan Rabu, akibat ribut salji dan runtuhan salji yang merosakkan kabel-kabel elektrik di Laluan Salang yang menghubungkan ibu negara Afghanistan dan bahagian utara negara itu.

 

Runtuhan salji sering berlaku di kawasan pergunungan Afghanistan, ketika musim sejuk.

 

Pada 2012, pihak berkuasa menganggap 145 mangsa yang hilang sebagai terkorban, selepas runtuhan salji berlaku di sebuah kawasan terpencil di timur laut Afghanistan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.