Mujahid Pertahan Keputusan Jual 14 Anak Syarikat TH Libatkan 76,975 Hektar Ladang

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini mempertahankan keputusan anak syarikat Tabung Haji (TH) iaitu TH Plantations Berhad (THP) menjual 14 syarikat yang melibatkan 76,975 hektar ladang kelapa sawit.

Memetik laporan Bernama, Mujahid menegaskan beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada THP dan langsung tidak mencampuri urusan jual beli mereka.

“TH hanya memiliki 72 peratus saham dalam THP dan saya langsung tidak mencampuri sebarang urusan jual beli melibatkan THP.

“Ini kerana, saya berkeyakinan tinggi bahawa pihak pengurusan THP yang baru dapat menyelamatkan syarikat ini daripada terus mengalami kerugian,” katanya.

Semalam Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa keputusan penjualan 14 anak syarikat TH yang memiliki 76,975 hektar ladang kelapa sawit itu itu sebagai mengkhianati pendeposit Tabung Haji dan mendesak Mujahid menyatakan pendiriannya.

“Isu bermula apabila Lembaga Pengarah THP iaitu anak syarikat penuh TH membuat keputusan pada 26 November 2018, 27 Februari 2019 dan 1 Ogos 2019 untuk menjual 14 anak syarikat miliknya yang memiliki ladang kelapa sawit seluas 76,975 hektar bersamaan 76.2 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan yang dimiliki syarikat itu,” katanya.

Dr Asyraf turut membangkitkan persoalan mengenai tindakan penukaran jurunilai yang mana kaedah penilaian itu telah menyusutkan nilai hartanah anak syarikat TH daripada RM380 juta kepada RM170 juta.

“Pada 2017 nilai buku dua syarikat memiliki ladang mencecah RM380 juta tetapi apabila ditukar jurunilai baharu penilai dibuat RM170 juta. Apa asas andaian penilaian itu dibuat?

“Kita juga nak tanya adakah penjualan ini mempunyai kaitan dengan hasrat menjadikan TH hanya untuk menguruskan jemaah haji sahaja seperti yang pernah disuarakan individu tertentu sebelum ini.

“Kita juga desak agar siasat proses penjualan tanah-tanah ini kepada Tamaco kerana ini isu kepentingan rakyat dan harap dapat perhatian serius oleh pihak berwajib,” kata Dr Asyraf, dipetik dari laporan Malaysia Gazette dan Sinar Harian, semalam.

Beliau turut menggesa Mujahid mengambil langkah penyelesaian segera agar tiada lagi aset milik Tabung Haji dijual kepada pihak lain dan meletakkan jawatan menteri sekiranya gagal berbuat demikian.

Sementara itu, dalam laporan yang sama, Mujahid menjelaskan keputusan penjualan 14 anak syarikat TH itu adalah transaksi jual beli yang merupakan perkara biasa dalam syarikat perniagaan.

Mujahid turut mempertikaikan tindakan DrAsyraf dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan isu jual beli tanah yang melibatkan THP.

“Sedangkan, persoalan yang perlu ditanya adalah mengapa mereka membeli tanah-tanah ini dulu sehingga tanah ini terpaksa dijual dan THP mengalami kerugian,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close