ECRL: MAHATHIR TIDAK TAHU KONTRAK DITAMATKAN

PUTRAJAYA 24 Jan. – Tun Dr. Mahathir Moha­mad memaklumkan beliau tidak tahu sama ada kontrak kontraktor utama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC) sudah ditamatkan atau tidak.

Perdana Menteri berkata, beliau baharu sahaja pulang dari lawatan kerja di luar negara dan tidak tahu menahu mengenai dakwaan penamatan kontrak kepada CCCC untuk projek ECRL.

“Saya tidak tahu dah tamat atau tidak, tapi satu cara kita menangani masalah ini ialah dengan menamatkan kontrak tapi bila kita tamatkan kontrak kita kena bayar pampasan ba­nyak bilion juga.

“Kita akan bincangkan perkara ini,” katanya kepada pembe­rita selepas melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Malaysia ketika ini dikatakan dalam fasa mencari kontraktor baharu bagi mene­rajui projek ECRL selepas menamatkan penganugerahan kontrak kepada CCCC.

Berdasarkan maklumat sum­ber, kerajaan merangka usaha supaya kos pembinaan projek rel mega bagi manfaat penduduk Pantai Timur itu dikurangkan kepada separuh berbanding nilai awal, iaitu daripada RM81 bilion kepada hanya RM40 bilion.

CCCC menerusi kenyataan akhbarnya pada 4 Julai lalu menjelaskan semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer (km) digantung berkuat kuasa serta-merta.

Firma berpangkalan di China selaku kontraktor utama projek mega itu mengesahkan mene­rima notis untuk menggantung semua kerja projek ECRL daripada pemilik syarikat berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL).

Arahan penggantungan di­keluarkan MRL itu susulan kenya­taan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa kos sebenar projek ECRL menjangkau RM81 bilion, berbanding RM66 bilion seperti dilaporkan sebelum ini, sekali gus perlu dikurangkan secara ketara supaya berdaya maju dari segi kewangan.

Dr. Mahathir, pada 22 Oktober lalu, dilaporkan berkata, keputusan kerajaan membatalkan beberapa projek mega adalah disebabkan kekangan kewangan serta dapat menjimatkan kos menjangkau RM300 bilion. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.