PPBM Berangan Atas Angin, Asyik Dengan Agenda Sendiri, Kata Pemimpin PAS

KUALA LUMPUR – Selera besar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu memerintah negara ini melalui gabungan Pakatan Harapan diketuai DAP disifatkan Pas sebagai angan-angan ‘atas angin’.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad mengingatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan idea Pas mahu bertan­ding di 130 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum nanti dan seterusnya mentadbir negara ini secara bersendirian.

Ujar beliau, sebaliknya Dr. Mahathir perlu memikirkan tentang untung nasib PPBM yang baru setahun jagung ditubuhkan dan belum diuji kewibawaannya.

“Jadi bagi saya tak perlukan beliau perlekehkan kami, Pas masih lagi pembangkang. Sepatutnya beliau beri cadangan untuk baiki kehidupan rakyat dan bukan asyik dengan agenda sendiri sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr. Mahathir bahawa hasrat Pas untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai angan-angan Mat Jenin.

Idris menambah, Pas telah membuktikan bahawa parti tersebut menjadi pilihan rakyat apabila berjaya menawan beberapa negeri dalam pilihan raya umum yang lalu seperti Kelantan dan Terengganu.

Jelas beliau, sekurang-ku­rang­nya Pas juga secara konsisten tu­run melawan Barisan Nasional (BN) tanpa gagal selama 60 tahun lamanya.

“Pas mempunyai idea tersendiri iaitu mahu membela rakyat, zaman sekarang bukan seperti zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri yang mana banyak perkara disekat.

“Dahulu tiada Internet, sebaran maklumat juga tidak luas, rakyat kini semakin kritis, biar mereka yang tentukan,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.