Mangsa Gangguan Makhluk Halus Terima Banyak Panggilan

MARANG – Walaupun tidurnya masih tidak lena kerana gangguan makhluk halus itu masih ada, namun Mohd Zamri Sulaiman, 53, berasa sedikit lega kerana sudah tidak dihantui gangguan api lagi.

Keluarga buruh tinggal di sebuah rumah sewa di Bukit Payong itu kini menjadi perhatian berikutan kisahnya diganggu makhluk halus sejak Disember tahun lalu disiarkan Sinar Harian semalam.

Serentak dengan itu, dalam tempoh dua hari, Mohd Zamri menerima banyak panggilan daripada orang perseorangan dan pengamal perubatan Islam yang mahu menawarkan khidmat membantunya.

“Saya menerima panggilan telefon bertali arus dari banyak pihak khususnya pengamal perubatan Islam dari Kuala Lumpur, Johor Bharu yang ingin datang membantu selepas kisah saya disiarkan.

“Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum memberikan kata putus kerana mereka (pengamal perubatan Islam) tinggal jauh dan jika mereka hendak datang ia memerlukan perbelanjaan.

“Syukurlah sekiranya mereka menawarkan perkhidmatan percuma tetapi kalau sebaliknya saya bimbang saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar mereka,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, katanya, sudah enam pengamal perubatan Islam cuba membantu namun gangguan misteri masih menghantui keluarganya tetapi tidaklah seteruk seperti yang dialami dua minggu lalu.

“Kalau dua minggu lalu habis pakaian diselerakkan malah dibakar, selain makhluk halus itu turut merosakkan beras dengan mencampurkan dengan bahan lain serta menumpahkannya,” katanya.

Mohd Zamri mula berpindah ke rumah sewa itu sejak tiga tahun lalu dengan kadar sewa sebanyak RM350 sebulan yang ditanggung Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Menurutnya, dia tinggal bersama isteri, Wan Nora Wan Abdullah, 46, yang mengidap penyakit buah pinggang dan anak angkat, Nur Syadiah Abdul Rahman, 11, dijaga sejak kanak kanak itu berusia enam bulan.

“Kami sekeluarga berharap agar gangguan ini berakhir segera agar kami dapat tinggal bersama dengan aman,” katanya yang turut mengajar kanak kanak setempat mengaji al Quran di rumah sewanya itu.

Selain menggunakan khidmat pengamal perubatan Islam, Mohd Zamri turut meminta bantuan seorang rakan, Faizuldin Mohd Zaid, 30, memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bilik tidur anaknya.

Mohd Zamri mengenali Faizuldin ketika mereka sama-sama mengikuti kursus radio amatur di sebuah hotel di Kuala Terengganu kira-kira tiga tahun lalu dan menjadi kawan baik sehingga kini.

Sementara itu, Faizuldin yang ditemui di rumahnya di Rhu Dua pula berkata, CCTV itu dipinjamkan kepada Mohd Zamri bagi memudahkan rakannya melihat perkembangan berlaku dalam bilik anaknya itu.

“Mungkin dengan adanya CCTV di dalam bilik berkenaan mereka juga dapat mengenalpasti punca dan mencari penyelesaian bagi mengatasi gangguan yang menghantui mereka sekeluarga,” katanya.

Bagaimanapun, sebelum itu, niat baik Faizuldin turut diuji apabila tersesat dan terlibat dalam kemalangan apabila motosikal ditungganinya melanggar pokok tumbang ketika mahu menghantar CCTV.

“Pada malam itu saya sesat, tidak ingat lorong masuk ke rumahnya.. Ketika berada di sebatang jalan gelap sambil mencari rumah itu saya terlanggar batang pokok tumbang lalu terjatuh atas jalan.

‘Akibatnya, dahi dan tangan cedera tetapi tidaklah teruk, selepas itu saya menghubungi Mohd Zamri dan tetap meneruskan semula perjalanan dan akhirnya selamat tiba di rumahnya,” katanya.

Bagaimanapun kata Faizuldin, kemalangan menimpanya itu mungkin tiada kaitan dengan gangguan makhluk halus yang menggangu keluarga Mohd Zamri sebaliknya berlaku kerana kecuaiannya sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.