Lebih 70 Klip Video

Shah Alam – Lebih 70 klip video berhubung insiden pembunuhan warga Korea Utara Kim Chol atau dipercayai sebagai abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam, ditayangkan semula di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Klip video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) terbabit ditayangkan ketika pemeriksaan utama pendakwaan ke atas saksi ke-31, iaitu Penyelia Keselamatan CCTV Gateway@klia2, Syed Fakhruzaman Mohd Mokhtar, 45.

Dalam prosiding itu, Syed Fakhruzzaman yang bertanggungjawab membuat salinan rakaman CCTV mengesahkan barang kes, iaitu 10 cakera video digital (DVD) rakaman CCTV selepas ia dikemukakan pihak pendakwaan, lapor Metro

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali pada sesi pemeriksaan utama, saksi itu berkata, Asisten Superintendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berjumpa dengannya dan meminta untuk menyemak rakaman CCTV yang berkaitan dengan kes yang disiasatnya.

“Saya kemudin membuat folder di dalam komputer dan menyalin rakaman yang dimahukan polis ke dalam DVD yang diberikan oleh mereka sendiri.

“Semasa proses itu dijalankan, saya mengesahkan semua DVD itu berada dalam keadaan baik dan saya sendiri yang mengendalikan komputer berkenaan,” katanya dengan memaklumkan mahkamah bahawa semua rakaman itu dilihat di Aras 1, Bilik Kawalan CCTV klia2.

Syed Fakhruzaman berkata, dia kemudian menyerahkan semua DVD itu secara berperingkat kepada pegawai penyiasat itu di antara 13 Februari dan 21 Februari tahun lalu.

Dalam prosiding itu, semua klip video dalam DVD terbabit turut dimainkan dan disahkan oleh saksi.

Selain itu, Syed Fakhruzaman turut mengesahkan mengenai beberapa dokumen membabitkan penyerahan DVD berkenaan kepada polis.

Pada 1 Mac tahun lalu di Mahkamah Majistret Sepang, dekat sini, Siti Aisyah, 26 warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa bersama empat lagi masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2, jam 9 pagi, pada 13 Februari 2017.

Perbicaraan di hadapan Datuk Hakim Azmi Ariffin bersambung Isnin ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.