James Franco Terpinggir

Topik hangat yang menjadi perbualan di Hollywood ketika ini pastinya pencalonan Academy Awards atau Oscar 2018 sebaik senarai calon diumumkan semalam.

Pastinya sesiapa yang dicalonkan kini lega apabila hasil kerja mereka mendapat perhatian dan diiktiraf.

Bagaimanapun, perasaan pelakon James Franco bercampur-baur selepas namanya tercicir untuk filem The Disaster Artist.

Walaupun disebut antara karya yang menyakinkan, namun namanya tidak tersenarai langsung.

Menurut sumber terdekat, pelakon berkenaan sememangnya kecewa, namun pada masa yang sama lega.

Baru-baru ini beberapa wanita membuat pertuduhan terhadapnya mendakwa dia melakukan kesalahan seksual.

“James kecewa apabila tidak dapat sebarang pencalonan di Oscar. Bagaimanapun, dia sangat memahami dan sebaliknya teramat lega.

“Dia sendiri tidak mahu rasa lebih terhina selepas pertuduhan yang dibuat terhadapnya,” kata sumber itu.

Beberapa minggu lalu, lima wanita menuduh pelakon berusia 39 tahun itu melakukan kesalahan seksual dalam satu pendedahan yang dibuat sebuah akhbar.

Bahkan, dua daripada wanita berkenaan tampil dalam program Good Morning America berkongsi mengenai kes terbabit.

Bagaimanapun, dakwaan menuduh James melakukan kesalahan seksual terhadap bekas pelajarnya itu dinafikan pelakon berkenaan.

Menurut sumber dalaman, perkara itu memberi kesan yang sangat besar terhadapnya. Seboleh-bolehnya dia mahu hal itu selesai secepat mungkin.

“James kini mahu tenangkan diri berikutan perkara itu dan sangat berharap ia akan selesai. Dia kini bergantung harap dengan keluarganya dan mahu jauh dari industri hiburan buat masa sekarang,” katanya.

Baru-baru ini kehadiran James ke acara SAG Awards 2018, Critic’s Choice Awards dan Golden Globes menerima kritikan pedas daripada netizen.

Kesan daripada pertuduhan itu, keadaan pelakon terbabit dikatakan sangat membimbangkan. Dia dikatakan bergelut dengan masalah dalaman diri.

“Dia sangat terluka kerana dia tidak tahu bagaimana boleh terbabit dalam situasi yang membuatkan seseorang boleh menuduhnya dengan tuduhan tidak berasas,” kata sumber itu.

Bercakap pada program Late Night, James mengakui tidak mampu berbuat apa-apa jika ada orang mahu bersuara dan membuat cerita.

“Ada cerita di luar sana yang perlu dikongsikan. Saya mempunyai cerita daripada pihak sendiri tetapi percaya mereka yang buat cerita tidak munasabah.

“Saya akan simpan saja perkara yang saya percaya dan takkan cuba untuk menegakkan benang yang basah,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.