BNM Respon Isu Wanita Mengaku ‘Pegawai’ Ugut Padam Identiti Lelaki Di Twitter

Dunia tanpa sempadan kini menyaksikan ramai netizen bertengkar antara satu sama lain dan lebih memburukkan keadaan, ada pula yang menyalahgunakan kedudukan didalam agensi kerajaan untuk menjustifikasikan kebenaran pandangan mereka.

Contoh jelas sepertimana pertengkaran antara Siti Zulaiha Anuar dengan seorang pengguna twitter lain, Mein Mokhtar yang mempertahankan seorang usahawan kecantikan, Syafiqah Aina.

Siti kerap menggunakan fakta agama dalam perdebatannya dan setelah pertengkarannya menemui jalan buntu, Siti mengambil langkah drastik mengakui dirinya sebagai pegawai Bank Negara untuk mengugut Mein.

“Saya tak kisah siapa pensyarah kamu! Kerana saya bekerja di bank negara. Kamu nak saya padam semua identiti kamu dimasa hadapan kalau kamu tak tunjukkan rasa hormat kepada saya?” ugut Siti Zulaiha.

Sementara Mein terus mengabaikan tweet Siti, netizen lain mula menyedari  keangkuhan Siti dan mula mempersoalkan kesahihan wanita tersebut benar-benar  kakitangan Bank Negara.

Pengguna twitter kemudiannya mula ‘tag’ Bank Negara dalam siri tweet balas  terhadap kenyataan Siti dan menggesa agar bank pusat itu mengambil tindakan atau memecatnya kerana telah menyalahgunakan kuasa.

Tidak lama kemudian, Bank Negara muncul dan mengeluarkan kenyataan respon  terhadap Siti.

“Hi Siti, tolong berhenti menyalahgunakan nama BNM. Tolong berhenti menyamar  sebagai kakitangan BNM. Kakitangan BNM sebenar tidak berkelakuan seperti anda.  Kami terikat dengan Kod Etika. Sila ambil pengetahuan,” tweet Bank Negara.

Bagi mendapatkan keterangan lanjut, Malaysian Digest bercakap dengan wakil BNM  yang menjelaskan mereka mengetahui mengenai pertengkaran tersebut ketika  mengadakan semakan harian pada akaun media sosial mereka.

Ditanya mengenai kesahihan Siti selaku kakitangan Bank Negara, pegawai berkenaan berkata; “Kami tidak akan menjelaskan lebih lanjut daripada apa yang dikatakan  di Twitter. Apa yang dijawab, itulah pandangan kami,” katanya sambil menambah  bahawa BNM tidak akan memberikan komen lanjut berhubung isu berkenaan.

Berhubung Kod Etika, wakil BNM itu mengesahkan ianya digunapakai oleh seluruh  kakitangan namun enggan mengulas lanjut.

“Sebagai kakitangan bank, mereka tidak dibenarkan untuk mendedahkan apa sahaja,” tambah beliau.

Pemeriksaan Malaysian Digest di Twitter sementara itu mendapati Siti sudah  memadamkan akaun twitternya semenjak ditegur oleh BNM, dan ianya mendapat pujian netizen secara keseluruhan.

Seorang lagi pegawai BNM yang tidak mengetahui mengenai isu pertengkaran di  twitter percaya bahawa ugutan oleh Siti adalah bertentangan dengan Kod Etika  BNM.

Enggan identitinya didedahkan, pegawai tersebut memberitahu Malaysian Digest  bahawa kod etika BNM serupa dengan organisasi lain yang meliputi pelbagai aspek  termasuk etika kelakuan, penerimaan hadiah, dan komunikasi luar dan dalam  organisasi.

“Sebagai kakitangan BNM, pastinya kami perlu mematuhinya kerana ianya  tanggungjawab kami untuk melaksanakannya,” ujarnya kepada Malaysian Digest.

Sementara bekas pegawai BNM pula menjelaskan, “BNM mempunyai Kod Etika yang  terperinci perlu dipatuhi kakitangan. Dan terdapat etika berlainan bagi  perkara-perkara tertentu, sebagai contoh bagi penggunaan media sosial atau  pengurusan media,” ujarnya.

Katanya, seorang bekas pegawai BNM pernah berkongsi pandangannya berkenaan  ekonomi di media sosial, tetapi kemudiannya dipindahkan ke bahagian lain selepas ada pihak membuat  aduan.

Insiden ini wajar dijadikan contoh kepada semua bahawa kita boleh mengadu-domba  apa sahaja di media sosial tetapi jangan sesekali melanggari Kod Etika sebagai  seorang pekerja.

Sebarang pelanggaran etika akan memaksa syarikat mengambil tindakan yang  akhirnya membawa akibat buruk kepada terhadap pekerjaan, malah masa depan  seseorang itu. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.