‘Mintalah Maaf Dari Peniaga Kopiah Itu, Aliff’

KUALA LUMPUR – Peminat menggesa Datuk Aliff Syukri Kamarzaman memohon maaf berhubung siaran program TV Oh Abang Kosmetik (OAK) yang dikatakan mengaibkan maruah seorang peniaga kopiah.

 

Rata-rata peminat yang mengikuti perkembangan jutawan itu di media sosial seakan tidak berpuas hati apabila mengetahui kejadian sebenar tidak seperti yang dipaparkannya.

 

Insiden itu bermula apabila Aliff yang berpura-pura menjadi seorang pengemis mendakwa dihalau peniaga itu dalam satu rakaman yang dilakukan pada 18 Disember lalu di Shah Alam, Selangor.

 

Bagaimanapun peniaga terbabit meluahkan rasa kecewa dengan kejadian tersebut, sebaliknya mendakwa jutawan kosmetik itu tidak menceritakan perkara sebenarnya yang berlaku.

 

Menurut pemilik akaun Facebook Safuwan Rahman yang menonton program itu di televisyen, tiada salahnya jika Aliff atau lebih popular dengan gelaran Abang Terlajak Laris mengaku kesilapannya.

 

“Saya harap Dato dapat membetulkan kesilapan yang berlaku. Setiap insan tidak lari daripada melakukan kesilapan dan tidak terlambat untuk kita membetulkannya,” katanya.

 

Seorang lagi pengguna Facebook Norshahadah Mohd Zulkifly berkata, disebabkan program OAK itu, dia secara tidak sengaja berprasangka buruk terhadap peniaga kopiah terbabit.

 

“Fitnah rupanya pasal penjual kopiah tu.. Please (tolong) la saya pun dah bersangka-sangka dah dengan penjual kopiah tu, punyalah percaya dengan air mata dan esakan Dato…Please bersihkan nama penjual kopiah tu,” katanya.

 

Manakala pengguna akaun Mohammad Safuan pula menasihati Aliff supaya tidak mudah lupa diri demi mengejar populariti.

 

“Err… saya peminat Dato terus kecewa sikap Dato.. Kes brader kopiah a.k.a abang Jebat.. Allah bagi Dato kaya ada sebab tapi Dato lupa diri.. Allah boleh tarik bila-bila je.. Disebabkan 1 video je puluhan ribu orang benci Dato,” katanya.

 

Dalam episod ketiga terbitan Astro itu, Aliff dirakam menghampiri gerai peniaga yang dikenali sebagai Shamsani menerusi kamera tersembunyi.

 

Ketika rakaman, Aliff menyamar sebagai pengemis tua dan meminta diberikan sehelai kopiah, tetapi mendakwa dihalau dari tempat kejadian oleh peniaga berkenaan.

 

Berikutan itu Shamsani tampil memberi penjelasan sebenar di Facebook dengan mengatakan Aliff ketika itu cuba mengambil tiga helai kopiah jualannya.

 

“Saya selaku tuan empunya kedai kopiah berasa amat kecewa dengan komen yang Dato berikan, seolah-olah saya hanya berpura-pura baik dengan menjual aksesori Islamik.

 

“Kenapa Dato tidak menceritakan hal yang betul-betul berlaku pada hari tersebut. Dato kata “saya hanya nak 1 kopiah je” tapi 3 yang Dato ambil. Sebagai peniaga salahkah saya mempertahankan barangan jualan saya dari dicuri orang?” tulisnya.

 

Sebaliknya, Shamsani mendakwa Aliff memberikan komen berbaur negatif mengenai dirinya sehingga mencalarkan maruahnya sebagai seorang peniaga barangan Muslim sekaligus boleh menjejaskan perniagaannya.

 

“Selama hampir 10 tahun saya berniaga, ini kali pertama saya telah diaibkan sedemikian rupa,” katanya.

 

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Aliff bagi mendapatkan maklum balas dan reaksi mengenai perkara itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.