2 Lelaki Sesat Dalam Hutan Ditemui Selamat

Kuala Pilah – Dua lelaki yang dilaporkan sesat di kawasan hutan bukit Kampung Tanggai, Air Mawang dekat sini petang semalam, ditemui selamat malam tadi.

 

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Ahmad Mohamad Akhir berkata, Mohd. Syaifuldin Mohd. Jalal, 23, dan rakannya, Mohd. Hafiz Zaharuddin, 23, ditemui dalam gerakan mencari dan menyelamat pada 9.43 malam.

 

“Mangsa dijumpai di tebing sebatang sungai dalam keadaan selamat dan dibawa turun (dari bukit) pada 11.30 malam. Pasukan kami berjalan kira-kira 6 kilometer sebelum menemui mangsa, namun pergerakan agak terbatas disebabkan cuaca gelap dan laluan berbukit.

 

“Ketika ditemui, mangsa menyalakan kayu api dan tindakan ini membantu memudahkan kerja kami mengesan lokasi mereka,” katanya di sini, hari ini.

 

Mohd. Syaifuldin dan Mohd. Hafiz tiba di puncak bukit pada kira-kira 10 pagi untuk memancing dan bergerak pulang pada 5 petang, namun tidak menemui jalan keluar. – Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.