Ketua Jurulatih ATM & SD FC Bakal Digantung 2 Tahun

Kelana Jaya: Ketua jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan dan Sime Darby FC, Ismail Zakaria berdepan hukuman maksimum digantung dua tahun sekiranya didapati bersalah mengkritik mutu pengadilan aksi Liga Super.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada dua jurulatih itu sekiranya Jabatan Undang-Undang badan induk itu yang diarah mengkaji kenyataan mereka mendapati ia bukan berbentuk pandangan, sebaliknya kritikan.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abdul Razak, berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan kepada Jabatan Undang-Undang FAM untuk mengkaji kenyataan dua jurulatih terbabit.

“Kita perlu mendapat kepastian terlebih dulu kenyataan yang dibuat dua jurulatih itu, sama ada berbentuk kritikan atau pandangan.

“Kalau ada kes, Jawatankuasa Tatatertib FAM akan meneruskan siasatan. Mereka boleh dihukum kalau kritikan itu berunsur menghina, mencemuh atau membabitkan hal ehwal FAM.

“Kod Tatatertib FAM Perkara 18 memperuntukkan hukuman maksimum adalah gantung empat bulan dan maksimum dua tahun,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.