Harga Barangan Sempena Musim Perayaan Terkawal – Hasan Malek

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memastikan harga barangan di pasaran sentiasa terkawal terutamanya sempena musim perayaan.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata pihaknya juga mahu memastikan barangan keperluan mencukupi dan tiada gangguan bekalan kerana ia akan memberi kesan kepada harga barangan di pasaran.

“Dalam menentukan harga barangan terutama barang-barang di luar skim kawalan harga sempena musim perayaan, ia bergantung kepada hukum pasaran iaitu permintaan dan penawaran.

“Kami faham terdapat banyak faktor yang memberi kesan terhadap harga barangan dan kadangkala ia di luar kawalan para pembekal, namun kami jamin akan berusaha memastikan pasaran tempatan kita stabil,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Hasan berkata tinjauan itu dilakukan bagi mewujudkan kerjasama erat di antara kementerian dan peniaga untuk memastikan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan terutamanya menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“Apa yang saya perhatikan kebanyakan daripada mereka mematuhi skim harga yang telah ditetapkan dan tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.

“Namun apabila barangan sampai ke peringkat peruncit, harga akan berubah dan di situlah kami mahu mengetahui sebabnya jika didapati harganya terlalu mahal,” katanya.

Beliau mahu para pembekal, pemborong dan peniaga supaya bekerjasama dengan KPDNKK bagi memastikan harga di pasaran stabil dan meningkatkan keyakinan pengguna untuk kebaikan jangka masa panjang.

“Kami juga akan mengadakan beberapa sesi pertemuan bersama pembekal dan pemborong dalam masa terdekat bagi membincangkan jalan penyelesaian terbaik.

“Selain daripada penguatkuasaan dan operasi yang dijalankan secara berterusan, kementerian juga mahu orang ramai menjadi pengguna yang bijak memilih, tahu hak-hak mereka dan melaporkan kepada kami sekiranya terdapat aktiviti pengambilan untung yang melampau,” katanya.

Katanya orang ramai juga perlu memanfaatkan laman web kementerian iaitu www.1pengguna.com untuk mengetahui senarai harga terkini dan melaporkan sebarang aduan berkenaan harga melalui talian penting 1800-866-800.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.